Berita Semasa

Kematian prebet TDM kes terpencil, jarang berlaku – Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Kematian seorang anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) dari Batalion Ke-20 Rejimen Askar Melayu Diraja (20 RAMD) di sebuah kem di Miri, Sarawak pada Isnin lalu disifatkan sebagai satu insiden yang terpencil dan jarang-jarang berlaku.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya kini sedang menjalankan siasatan secara mendalam terhadap kematian Prebet Muhammad Muqriz Aseri, 21.

Justeru itu, beliau berkata, pihaknya memberi jaminan akan memberikan kerjasama penuh terhadap siasatan yang dijalan oleh pihak polis berhubung insiden terbabit.

“Kita tidak abaikan, kita tidak boleh terima perkara-perkara seperti ini dan kita akan pastikan melalui hasil (siasatan), kita akan elak daripada berulang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pengumuman Dividen Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) 2024 di ibu negara hari ini.

Semalam, Tentera Darat Malaysia (TDM) memaklumkan kematian seorang anggota tentera di Kem Sri Miri pada Isnin lalu dipercayai mempunyai kaitan dengan unsur ‘mandhandling’ atau pengendalian seseorang dengan cara yang kasar.

TDM berkata, laporan awal diterima hasil bedah siasat dilaksanakan Selasa lalu di Hospital Miri pula mendapati punca kematian disahkan kerana trauma akibat benda tumpul pada dada, yang merujuk hentakan kuat pada bahagian dada yang menyebabkan kerosakan pada jantung.

Terdahulu, media melaporkan mengenai kematian anggota tentera terbabit dengan sumber memaklumkan mangsa yang sedang tidur di berek bujang kem dikejutkan jam 2.15 pagi oleh dua anggota senior untuk bersahur.

Namun sebelum bersahur, dua anggota senior terbabit mengarahkan mangsa melakukan ‘commando rest’ (pacak kepala di lantai, tangan ke belakang) selama dua minit dan tekan tubi sebanyak 20 kali.

Mangsa yang berpeluh kemudian berdiri, namun terus pitam sebelum disahkan dikejarkan ke hospital dan meninggal dunia jam 3.05 pagi.

Susulan itu, Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu dilaporkan berkata, dua anggota 20 RAMD ditahan kerana disyaki terbabit dalam kes kematian prebet tersebut.

Kedua-dua prebet berusia 22 dan 24 tahun itu ditahan di Kem Sri Miri pada jam 4.30 petang kelmarin.

Jelas Mohamed Khaled, orang ramai tidak boleh membuat kesimpulan terburu-buru, apatah lagi menyamakan insiden itu dengan kes kematian Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Zulfarhan Osman Zulkarnain.

“Setiap tahun kita ada 5,000 rekrut dan ini (kes kematian melibatkan anggota tentera) adalah satu insiden terpencil.

“Jangan dicantumkan antara yang berlaku di UPNM kerana ini adalah satu insiden yang jarang-jarang berlaku, jadi atas sebab itu kita akan kaji secara berdalam dan tak boleh nak kata ada dera sebagainya sebab tengah siasat,” jelas beliau.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button