
Kemasukan pelaburan dari China bukti dasar negara tidak celaru – PM
KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan sekiranya dasar negara bercelaru, tidak mungkin pelaburan asing terutamanya dari negara besar dunia datang ke Malaysia.
Perdana Menteri berkata, buktinya ialah dengan kehadiran pelabur dari China selepas sebulan beliau melakukan kunjungan hormat ke negara itu.
“Kalau dasar celaru pertumbuhan kita tak akan dapat atasi Indonesia, Vietnam dan China.
“Kalau dasar celaru tak mungkin pelaburan datang, pelaburan ini serius sebab selepas sebulan kita ke China Geely datang. Bukan sahaja lancarkan Proton X90 malah mencadangkan juga projek Automotive High-Tech Valley (AHTV) di Tanjung Malim, jadi maknanya ada dasar yang jelas yang mereka ketahui,” katanya pada sesi soal jawab lisan pada hari pertama persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) pada persidangan Dewan Rakyat mengenai halatuju kebijakan ekonomi negara saat ini serta memberi penjelasan mengapa disegerakan projek-projek besar melibatkan masalah banjir di Johor, Terengganu dan Kelantan.
Dalam pada itu menyentuh mengenai projek tebatan banjir yang sering dipertikaikan oleh pembangkang, katanya, isu itu tidak timbul kerana kerajaan mengambil berat dan memberi keutamaan terhadap projek itu.
“Saya tidak fikir ada kekeliruan. Bila mana saya katakan batalkan projek rundingan terus kita sebut untuk tebatan banjir, harus ada langkah percepatan dan ini termasuk tender terhad. Itu (jawapan saya) di parlimen. Masalah Larut harus hadir di Parlimen untuk mendengar jawapan.
“Ini tidak ada pertentangan. Tidak boleh rundingan terus untuk tebatan banjir. Kalau kita ikut proses biasa maka kelulusan kontrak tebatan banjir hanya boleh diluluskan pada November atau Disember. Kelantan, Terengganu, Johor kata tak boleh, perlu segera. Maka kita kata fast track tetapi tender dengan syarikat setelah melalui proses pre-qualification,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






