
Kemasukan MRSM, SBP diselaras tahun depan – Asyraf Wajdi
KUALA LUMPUR – Bermula tahun depan, proses pengambilan pelajar ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) akan diselaras secara bersama antara MARA dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi mengelak pertindihan tawaran.
Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, langkah itu dilaksanakan hasil arahan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mahu sistem pengambilan pelajar ke institusi berprestij itu lebih efisien dan adil.
“Mulai tahun depan, tiada lagi tawaran bertindih antara MRSM dan SBP. Pelajar boleh memohon kedua-dua institusi, tetapi hanya satu tempat sahaja akan ditawarkan sama ada MRSM atau SBP,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.
Menurut beliau, dasar baharu itu bukan sahaja akan memudahkan proses penempatan pelajar, malah membuka peluang lebih luas kepada calon lain yang layak untuk mendapat tempat.
Katanya lagi, mekanisme itu akan membantu mengurangkan kes pelajar yang menerima dua tawaran serentak, sekali gus menyebabkan berlaku kekosongan di salah satu institusi apabila pelajar membuat pilihan akhir.
Sebelum ini, sistem permohonan dan pemilihan pelajar ke MRSM dan SBP dikendalikan secara berasingan oleh MARA dan KPM menyebabkan ramai pelajar cemerlang mendapat dua tawaran serentak.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |