BERITA SEMASALUAR NEGARA

Kemasukan bantuan Gaza disekat Israel

GAZA – Tindakan Israel menyekat lebih 3,000 trak bantuan kesihatan daripada memasuki Gaza mencetuskan kebimbangan global terhadap krisis kemanusiaan yang kian meruncing.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Gaza, Dr. Munir al-Bursh berkata sistem perkhidmatan kesihatan di Gaza berada dalam keadaan kritikal apabila bekalan ubat-ubatan, peralatan perubatan asas dan vaksin semakin berkurangan secara drastik.

“Larangan terhadap kemasukan trak bantuan dari Arish, Mesir menyebabkan hospital-hospital tidak lagi berfungsi secara optimum. Ini bukan sekadar kecuaian, tetapi satu bentuk bencana kemanusiaan yang disengajakan.

“Penyekatan tersebut menyumbang kepada peningkatan mendadak kes penyakit berjangkit seperti cirit-birit akut dan meningitis.

“Keadaan bertambah buruk apabila lebih 90 peratus penduduk Gaza tidak lagi mempunyai akses kepada air bersih berikutan keruntuhan sistem bekalan air,” katanya dalam satu kenyataan media.

Dr. Munir mengkritik mekanisme pengagihan bantuan yang diperkenalkan Israel sebagai tidak telus dan bersifat penindasan sistemik.

“Ia merupakan satu strategi pembunuhan beramai-ramai yang perlahan dan tindakan ke arah pemindahan paksa,” tegasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Pejabat Media Kerajaan Gaza memaklumkan sekurang-kurangnya 49 rakyat Palestin terbunuh manakala lebih 300 lagi cedera dalam serangan ke atas kawasan edaran bantuan sejak 27 Mei lalu, melibatkan orang awam yang sedang beratur mendapatkan bekalan makanan dan ubat-ubatan.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan sekatan Israel terhadap Gaza sebagai punca utama kepada kebuluran buatan manusia.

“Dengan lintasan sempadan kekal ditutup lebih 90 hari, seramai 2.4 juta penduduk kini terperangkap dalam keadaan serba kekurangan dan berisiko tinggi.

“Sejak serangan dilancarkan pada Oktober 2023, lebih 54,400 rakyat Palestin dilaporkan terkorban sebahagian besar daripadanya wanita dan kanak-kanak meskipun desakan antarabangsa untuk gencatan senjata terus meningkat,” katanya.

Agensi kemanusiaan antarabangsa memberi amaran kegagalan membuka akses segera dan tanpa sekatan kepada bantuan kemanusiaan akan menyebabkan Gaza menghadapi krisis kesihatan dan kebuluran yang berpotensi mencetuskan bencana kemanusiaan terburuk dalam sejarah moden.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button