BERITA SEMASA

Kemalangan di Lebuh AMJ: Bayi dua bulan maut, ibu bapa cedera ringan

JASIN – Seorang bayi perempuan berusia dua bulan meninggal dunia, manakala ibu bapanya cedera dalam satu kemalangan yang berlaku di Lebuhraya Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berhampiran Batu Gajah, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Mohamad Rusli Mat berkata, bayi berkenaan, Nur Hafirzah Qintina Shahrul Asraf Naim meninggal dunia selepas lebih dua jam dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar.

Bapa bayi itu, Shahrul Asraf Naim Khasiran, 35, dan ibunya, Nurulnadiah Balqis Abdullah, 22, masing-masing mengalami luka di dahi dan di kepala.

Menurut Mohamad Rusli, kemalangan berlaku pada pukul 2.15 petang apabila kereta Toyota Vios dinaiki tiga beranak itu dalam perjalanan dari arah lampu isyarat Lebuh AMJ menuju Batu Gajah.

“Setibanya di lokasi kejadian, lori dipandu lelaki berusia 33 tahun dari arah sama masuk ke lorong kanan untuk pusingan U dan dilanggar dari belakang oleh kereta terbabit.

“Pelanggaran menyebabkan pemandu dan penumpang kereta cedera dengan bayi meninggal dunia. Pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Tambah beliau, kematian bayi itu dimaklumkan pihak hospital pada pukul 5 petang.

Beliau berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Izzuwan Jafri di talian 019-7242479 atau kaunter aduan trafik IPD Jasin 06-5292222.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button