BERITA SEMASA

Keluarga rayu bantuan RM578,000 selamatkan remaja hidap kanser agresif

PUCHONG – Sebuah keluarga merayu bantuan orang ramai untuk mengumpul dana sebanyak RM578,000 bagi menampung kos rawatan anak mereka, Fatin Umairah, 16, yang menghidap kanser agresif dikenali sebagai High-Risk Neuroblastoma.

Bapanya, Azme berkata, anaknya mula mengalami sakit perut berpanjangan sejak Januari 2023 dan pada mulanya disangka hanya masalah gastrik biasa.

“Keadaannya makin teruk dan ubat gastrik tidak lagi berkesan. Pada Januari 2024, saya terpaksa bawa dia ke hospital kerana sakit yang amat sangat sehingga dia tidak boleh tidur,” katanya memetik laporan The Vibes.

Selepas menjalani pelbagai ujian dan dirujuk ke hospital pakar, Fatin disahkan menghidap High-Risk Neuroblastoma dan hasil imbasan menunjukkan ketumbuhan telah membesar di bahagian kelenjar adrenal dan lehernya.

Menurut Azme, Fatin menjalani beberapa siri rawatan termasuk pembedahan, kemoterapi dan radioterapi antara Mac 2023 hingga Mac 2024.

Namun, kerosakan pada buah pinggang yang tidak dimaklumkan lebih awal menyebabkan Fatin tidak layak menerima rawatan pemindahan stem sel seperti dirancang.

“Saya sangat terkejut apabila diberitahu tentang kerosakan buah pinggang semasa persiapan rawatan stem sel.

“Tapi saya tak buat laporan sebab saya cuma nak anak saya sembuh,” katanya lagi.

Kini, ubat Qarziba menjadi satu-satunya pilihan rawatan, namun kosnya amat tinggi kira-kira RM578,000 untuk 25 hingga 30 botol.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan CCEP, Yvonne Yee menjelaskan, dos ubat ditentukan berdasarkan berat dan ketinggian pesakit.

“Kanser ini boleh merebak ke nodus limfa, tulang dan organ dalaman lain. Qarziba berperanan penting dalam mengekang penyebaran sel kanser,” katanya lagi.

Yvonne menambah, walaupun kos rawatan tinggi, pihaknya komited membantu Fatin dan keluarganya mengumpul dana.

“Setiap sumbangan amat bermakna. Bantuan kecil anda mampu memberikan harapan dan peluang kedua kepada Fatin untuk meneruskan hidup,” katanya lagi.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menghubungi Yee Poo Yoon di talian 018-271 8849.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button