
Kelonggaran pengeluaran KWSP boleh ‘hukum’ pencarum bila bersara – PM
KUALA LUMPUR – Tindakan membuka ruang terlalu luas untuk pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berisiko menimbulkan masalah di masa depan apabila pencarum mencapai usia persaraan.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini kerana pencarum berisiko kekurangan simpanan yang mencukupi untuk menyara kehidupan pada usia tua.
“Membuka ruang terlalu luas untuk pengeluaran simpanan ini berpotensi menimbulkan masalah pada masa depan, terutama apabila mereka bersara nanti.
“Prinsip yang kita pegang sejak dahulu, ketika saya berada di Kementerian Kewangan, adalah untuk tidak memberikan kelonggaran berlebihan kerana KWSP sememangnya bertujuan sebagai simpanan untuk hari tua,” katanya pada sesi Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Nurul Amin bin Hamid (PN-Padang Terap) mengenai pertimbangan bagi pencarum KWSP yang berhenti atau dihentikan kerja mengeluarkan caruman secara bersasar.
Tambah Anwar, walaupun dividen KWSP tahun ini sebanyak 6.3 peratus mungkin dilihat sebagai hasil yang lumayan bagi pencarum, kebanyakan pencarum terutamanya dalam kalangan masyarakat Melayu mempunyai simpanan yang sangat kecil.
Justeru, beliau berkata, adalah penting buat kerajaan untuk mencari keseimbangan antara menyelesaikan masalah segera dan memastikan rakyat tidak terhukum apabila tiba masanya mereka bersara.
“Kadang-kala pengecualian (pengeluarabn) diberikan dan kelonggaran serta pertimbangan khas diberi untuk kes-kes tertentu, terutama bagi mereka yang uzur,” jelasnya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |