
Kelayakan Piala Asia: Malaysia mula langkah kanan, benam Nepal 2-0
ISKANDAR PUTERI – Malaysia bermula dengan langkah kanan apabila berjaya menewaskan Nepal 2-0 pada aksi pusingan ketiga Kumpulan F kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.
Gol awal perlawanan berjaya dijaringkan oleh pemain warisan, Hector Hevel pada minit ke-29 apabila rembatan dari luar kotak penalti terbias kaki pertahanan, sekali gus mengelirukan penjaga gol lawan.
Lebih manis, gol hasil bantuan (assist) Arif Aiman tersebut merupakan gol pertama pemain berusia 28 tahun itu dalam aksi sulungnya bersama Harimau Malaya.
Skuad Kebangsaan kemudian menambah derita pelawat apabila Corbin Ong berjaya mencetak gol kedua pada minit ke-70, juga hasil bantuan Arif Aiman yang membuat hantaran cantik 1-2 daripada gerakan sepakan percuma.
Secara keseluruhannya, pasukan negara mempamerkan permainan yang memuaskan dengan menguasai lebih 70 peratus perlawanan dan 11 percubaan ke arah pintu gol lawan.
Dengan kemenangan itu, Malaysia kini berada di kedudukan teratas Kumpulan F dan dalam momentum positif untuk melayakkan diri ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi.
Dalam pada itu, skuad kendalian Peter Cklamovski akan berdepan Laos dan Vietnam yang juga berada dalam Kumpulan F di mana hanya juara kumpulan sahaja akan layak ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi nanti.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |