BERITA SEMASA

Kelayakan Hoki Olimpik: Malaysia dikecewakan China dengan jaringan saat-saat akhir

MUSCAT – Pasukan China terus menjadi badi kepada Malaysia apabila pasukan Speedy Tigers itu tumbang 3-2 dalam perlawanan Kumpulan A hoki kelayakan Olimpik 2024.

Lebih malang apabila Malaysia tewas melalui pukulan sudut penalti China pada 5 saat terakhir.

Suku pertama menyaksikan tiada jaringan dapat dihasilkan. Memasuki suku kedua jaringan yang dicari akhirnya tiba menerusi jaringan padang Azrai Abu Kamal pada minit ke-29 untuk meletakkan skuad negara di depan 1-0 sehingga tamat separuh masa pertama.

Namun keputusan itu tidak lama apabila China berjaya mendapat dua jaringan dalam masa 4 minit menerusi penalti stroke Lin Changliang pada minit 31 dan Chao Jieming pada minit 34.

Anak-anak buah Arul Selvaraj berjaya mengikat kedudukan menerusi pukulan sudut penalti Razie Rahim pada minit ke-47.

Bagaimanapun ketika keputusan bakal berakhir dengan seri, pasukan negara dikejutkan dengan jaringan sudut penalti yang dijaringkan oleh Gao Jiesheng pada minit ke-60.

Di Sukan Asia yang lalu, China menidakkan hasrat Malaysia untuk layak ke peringkat separuh akhir setelah terikat seri 4-4 sekaligus menguburkan impian skuad negara layak ke Olimpik melalui slot juara Sukan Asia.

Selepas ini, The Speedy Tigers akan turun dalam aksi kedua menentang Great Britain pada awal pagi Rabu, 17 Januari jam 12.45 tengah malam waktu tempatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button