BERITA SEMASA

Kelantan terima RM6.6 juta peruntukan Persekutuan baik pulih cerun runtuh

KUALA LUMPUR – Kerajaan Kelantan merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas kelulusan peruntukan berjumlah RM6.6 juta bagi kerja-kerja membaik pulih cerun runtuh di Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Remah.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, menerusi satu hantaran di Facebook semalam memaklumkan kejadian tanah runtuh pada 26 November tahun lalu itu berpunca daripada hujan lebat berterusan yang mengakibatkan pergerakan tanah sepanjang 130 meter.

Kerosakan turut melibatkan struktur cerucuk keping di kawasan loji serta paip air mentah dan terawat yang pecah, sekali gus mengancam beberapa struktur penting seperti bilik klorin, tangki bahan kimia dan sub-stesen milik Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Kerajaan Kelantan sebelum ini telah meluluskan peruntukan sebanyak RM235,000 untuk melaksanakan dua kajian penting oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), iaitu Kajian Siasatan Tanah (SI) dan Kajian Ukur Terperinci (Detailed Survey) di tapak LRA berkenaan,” katanya.

Menurut beliau, inisiatif itu menerima maklum balas positif apabila Kerajaan Persekutuan bersetuju menyalurkan peruntukan berjumlah RM6,612,200 bagi membaik pulih cerun yang terjejas.

“Kerajaan Kelantan amat menghargai kelulusan itu yang memberi makna besar kepada rakyat dalam memastikan masalah berkenaan dapat diselesaikan segera,” katanya.

Mohd Nassuruddin turut menzahirkan komitmen kerajaan negeri untuk terus membawa suara rakyat melalui pendekatan politik matang dan sejahtera serta menjunjung semangat federalisme demi kesejahteraan bersama.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button