PMXBERITA SEMASA

Kekuatan Melayu dibina atas nilai Islam – Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keutuhan maruah dan kekuatan masyarakat Melayu perlu terus dibina berasaskan nilai-nilai Islam.

Justeru katanya, orang Melayu tidak boleh lagi terperangkap dengan retorik seperti ‘Melayu hilang kuasa’ atau ‘Ketuanan Melayu’.

“Ini adalah satu aspek yang perlu terus dijulang, terutamanya pada ketika ini dan bukannya masih khayal dengan ‘Melayu hilang kuasa’ atau mendabik dada dengan ‘Ketuanan Melayu’,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada majlis Syarahan Perdana bertajuk ‘Islam: The Covenants Fulfilled’ oleh Prof Diraja Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), malam tadi.

Turut hadir dalam majlis itu Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Prof Dr. Alparslan Acikgenc dari Universiti Ibn Khaldun, Turkiye.

Anwar menekankan bahawa karya agung Syed Muhammad Naquib Al-Attas menjadi peringatan mengenai masa depan Islam yang berkait rapat dengan nilai-nilai ketamadunan berteraskan keadilan, budaya, kebebasan, moral dan kemajuan masyarakat.

“Paling utama adalah seruan untuk mengatasi kejahilan dengan pengetahuan, untuk beralih dari kegelapan kepada cahaya.

“Semua itu merupakan agenda penting untuk membina tamadun yang mulia dan hebat,” katanya lagi.

Dalam pada itu, kerajaan akan mengambil langkah menambah baik Perpustakaan Syed Muhammad Naquib Al-Attas di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC).

Perpustakaan tersebut kini memiliki lebih 150,000 naskhah koleksi buku.

“Mari kita doakan agar generasi akan datang mendapat inspirasi dan manfaat daripada ilmuan Islam kita, guru kita yang cemerlang, Prof Diraja Naquib Al-Attas,” katanya lagi.

Anwar turut berkata, beliau telah banyak terinspirasi oleh ulama tersebut.

“Buku seperti ‘Islam and Secularism’ yang diterbitkan lebih empat dekad lalu memberikan kesan yang berpanjangan dalam hidupnya dan kekal relevan hingga ke hari ini.

“Beliau mengajar saya untuk keluar dari zon selesa dan bertindak demi menjayakan sesuatu,” tambahnya.

Majlis tersebut merupakan satu penghormatan terhadap sumbangan besar Syed Muhammad Naquib Al-Attas dalam bidang keilmuan Islam dan ketamadunan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button