
Kedudukan Tengku Zafrul tidak dibincang dalam mesyuarat Kabinet – Fahmi
PUTRAJAYA – Mesyuarat Kabinet hari ini tidak membangkitkan sebarang isu berkaitan kedudukan Menteri Perdagangan, Pelaburan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz dalam kerajaan.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dalam sidang media di kementeriannya di sini, hari ini.
“Tidak berbangkit dalam Kabinet (isu Tengku Zafrul),” katanya ringkas ketika diminta mengulas sama ada perkara tersebut ada disentuh dalam mesyuarat Kabinet susulan keputusan Tengku Zafrul keluar daripada UMNO.
Terdahulu, Tengku Zafrul mengumumkan peletakan jawatan dalam UMNO dan pada masa sama menyatakan hasrat menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Tindakan tersebut menerima kritikan daripada pemimpin UMNO, termasuk Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menuntut agar jawatan menteri yang disandang Tengku Zafrul dikembalikan kepada parti itu.
Dalam perkembangan lain, Fahmi memaklumkan bahawa penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang berlangsung minggu lalu berjalan lancar dan menerima reaksi positif daripada ketua-ketua negara dan kerajaan yang hadir.
Menurutnya, para pemimpin menyatakan rasa gembira dengan kemudahan serta persiapan yang disediakan Malaysia sebagai tuan rumah.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang meneliti apa cara terbaik untuk mengucapkan terima kasih kepada ketua-ketua negara yang terbabit.
“Kita serahkan kepada Perdana Menteri untuk menyatakannya kemudian,” katanya.
Tambah beliau, tumpuan kerajaan kini beralih kepada persiapan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dijadual berlangsung pada Oktober depan.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |