BERITA SEMASASUKAN

Kecewa kes simbah asid NFA, Faisal Halim minta jangan terus aniaya

BUKIT MERTAJAM – “Jangan aniaya saya, saya juga ada keluarga,” luah pemain sayap Selangor FC, Faisal Halim yang kecewa susulan keputusan kes simbahan asid terhadapnya diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Faisal atau lebih dikenali sebagai Mickey berkata, meskipun kecewa, beliau tetap reda dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya.

“Saya sebagai mangsa memang kecewa, tapi perkara ini sudah pun berlaku. Saya harap diberikan ruang untuk kembali bermain bola sepak.

“Kalau ada yang tak puas hati dengan saya, beritahulah… jangan aniaya saya macam ini. Saya tak buat salah dengan sesiapa. Kalau saya ada salah, tegur saya, bukan buat saya sampai begini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Kejohanan Terbuka Piala Faisal Halim U12 di Mengkuang Titi di Bukit Mertajam hari ini.

Tonggak Pasukan Kebangsaan itu berkata, beliau berjuang dalam dunia bola sepak sejak kecil bukan kerana mengejar kesenangan, tetapi demi kejayaan dan masa depan keluarga.

“Saya ada keluarga yang perlu ditanggung. Karier bola sepak ini saya mula dari bawah, dan saya hanya mahu berjaya, bukan cari musuh.

“Saya terima dengan hati terbuka. Ini juga ruang untuk saya bangkit semula. Tentang keputusan NFA itu, saya tak mahu fikir lagi… saya hanya mahu fokus karier saya,” ujarnya.

Terdahulu, kes simbahan asid yang mengakibatkan Faisal melecur teruk di beberapa bahagian badan dilaporkan diklasifikasikan sebagai NFA, sekali gus mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan peminat sukan tanah air.

Pada 5 Mei tahun lalu, Faisal, 27, menjadi mangsa simbahan asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya, sekali gus mengalami kecederaan melecur tahap empat pada beberapa bahagian badan dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama 10 hari.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button