Berita Semasa

Kebakaran saluran paip gas: KPT kerah bantuan menyeluruh

SUBANG JAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah mengerahkan seluruh kepakarannya bagi membantu mangsa yang terjejas dalam insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, pihaknya telah mengerahkan beberapa bentuk bantuan termasuk khidmat kaunseling, perubatan dan juga bantuan kemanusiaan kepada mangsa-mangsa yang berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights.

Sebahagian mangsa dirakam mengisi borang untuk pinjaman kenderaan pagi tadi.

“Kita telah mengambil langkah segera bagi memastikan sebuah pasukan di bawah KPT dihantar dengan segera melibatkan pasukan perubatan daripada kalangan universiti-universiti yang mempunyai hospital.

“KPT juga menghantar team psikologi bagi membantu mereka yang menghadapi trauma. Mereka mengendalikan bukan hanya orang dewasa, tetapi juga kanak-kanak.

“Selain itu, kita turut menghantar satu team daripada Siswa MADANI. Sukarelawan-sukarelawan ini kita himpunkan dari pelbagai universiti di seluruh negara termasuk dari Sarawak,” katanya kepada pemberita selepas melawat PPS di sini hari ini.

Menurutnya lagi, KPT turut mengenal pasti pelajar-pelajar yang terkesan dengan insiden tersebut dengan bantuan yang diberikan bukan sekadar dalam bentuk wang tunai, tetapi juga meliputi aspek-aspek lain seperti kemudahan komputer untuk pengajian mereka serta urusan pendaftaran.

“Setakat ini kita mempunyai seramai sembilan pelajar yang terlibat. Kita bersiap sedia untuk menghulurkan sebarang bentuk bantuan.

“Ia bukan setakat bantuan dalam bentuk tunai tetapi pendaftaran mereka juga pada Isnin nanti boleh dilonggarkan sedikit sekiranya ada kesulitan untuk mereka bergerak.

“Saya juga sudah maklumkan kepada pihak universiti supaya tempoh mereka mendaftar itu dapat dilanjutkan,” jelasnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button