
Kebakaran paip gas: penduduk dibenar pulang secara berperingkat
SUBANG JAYA – Pemilik 115 rumah yang terjejas akibat kebakaran saluran paip gas di Putra Heights dibenarkan memasuki kediaman mereka secara berfasa bermula hari ini bagi tujuan pemeriksaan keselamatan.
Pegawai Daerah Petaling, Huzunul Khaidil Mohammed berkata, fasa pertama melibatkan 41 pemilik rumah di Jalan 1/3A, yang dibenarkan masuk bermula pukul 9.30 pagi untuk pemeriksaan pendawaian elektrik sebelum bekalan disambung semula sekiranya keadaan selamat.
“Penduduk juga akan menjalani pemeriksaan inventori sebelum dibenarkan menetap kembali di kediaman mereka,” katanya memetik laporan Kosmo online.
Beliau berkata, fasa kedua dan ketiga kemudiannya akan diteruskan mengikut prosedur yang telah ditetapkan bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin sebelum mereka kembali ke rumah masing-masing.
Salah seorang penduduk, Aziz Jidon, 69, meluahkan rasa syukur kerana dibenarkan masuk ke rumahnya di Taman Putra Harmoni semalam untuk mengambil barang keperluan penting dan hari ini bagi membawa keluar kenderaan.
“Jika dibenarkan masuk, saya amat bersyukur sebab banyak barang yang saya nak tengok di rumah.
“Apa-apa keputusan saya ikut sahaja, kalau boleh masuk kita masuk… terima kasih atas tindakan pantas pihak berkuasa,” ujarnya.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Iqman Zikry, 24, berkata setakat ini maklumat yang diterima hanya berkaitan siasatan pihak berkuasa mengenai pendawaian elektrik di rumah mereka.
“Saya baru sampai dalam beberapa minit dan buat masa sekarang tiada lagi makluman penting yang saya terima daripada mangsa yang lain.
“Kalau boleh masuk, alhamdulillah, terima kasih kepada semua yang memudahkan urusan mangsa,” katanya lagi.
Terdahulu, kejadian kebakaran paip gas di Putra Heights telah menyebabkan lebih 100 rumah terjejas, dengan sebahagian penduduk terpaksa berpindah sementara waktu sehingga keadaan benar-benar selamat untuk mereka kembali ke kediaman masing-masing.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |