BERITA SEMASADALAM NEGERI

KDN teliti semula kesalahan dalam SOSMA, keperluan benar ikat jamin

PUTRAJAYA – Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) kini masih dalam fasa penelitian dan semakan semula Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi memastikan keberkesanan dan mengimbangi keperluan undang-undang itu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, semakan semula itu selaras dengan keputusan Jemaah Menteri yang bersetuju akta itu diteliti semula.

Beliau berkata, sebahagian daripadanya adalah untuk mengkaji semula 73 jenis kesalahan yang disenaraikan dalam akta itu jika dapat dicadangkan dengan ikat jamin.

“KDN sedang meneliti 73 kesalahan dalam akta ini sekiranya kita boleh cadangkan ia boleh diikat jamin dengan memulangkan kuasa kepada mahkamah.

“Ini adalah satu anjakan yang penting buat kita dan beberapa pemegang taruh yang lain,” katanya ketika berucap pada Majlis Iftar Menteri Dalam Negeri Bersama Media di sini, hari ini.

Saifuddin Nasution Ismail (empat dari kiri) beramah mesra dengan wakil media pada Majlis Iftar Menteri Dalam Negeri Bersama Media di Putrajaya malam tadi.

Selain itu katanya, KDN juga komited untuk mengkaji semula Seksyen 30 SOSMA yang mendapat perhatian dalam pelbagai sesi libat urus oleh KDN dan memerlukan semakan.

“Misalnya seksyen tersebut mengatakan seseorang yang ditahan melebih 28 hari, dituduh ke mahkamah dan dibicara di mahkamah perlu tetap berada dalam penjara,” jelasnya.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, KDN menyasarkan peningkatan pendaftaran MyDigital ID pada suku kedua tahun itu susulan strategi baharu diambil Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Katanya, menerusi proses itu, rakyat Malaysia seawal umur 12 tahun akan didaftarkan secara automatik dalam sistem MyDigital ID.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button