BERITA SEMASA

KDN laksana kajian sistem NBCS, bangunkan sistem biometrik AI bagi kawalan sempadan negara

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam proses menjalankan kajian kebolehlaksanaan pembangunan Sistem Kawalan Sempadan Negara (NBCS) bagi memperkasa penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam kawalan keselamatan sempadan negara.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, cadangan pembangunan NBCS tersebut adalah sebahagian langkah strategik KDN dalam memperkukuh kawalan keselamatan sempadan negara melalui teknologi terkini selari dengan perkembangan teknologi semasa dunia.

Jelas beliau, sistem berkenaan akan dilengkapi sistem pengawasan terkini dan teknologi AI bagi membolehkan operasi tanpa pengawasan, proses kawalan pintar, penyebaran maklumat secara pantas dengan masa sebenar dan pengawasan berterusan demi keamanan, kestabilan dan keharmonian negara.

“Penggunaan berasaskan teknologi AI ini akan membolehkan pengesanan objek dilaksanakan dengan efektif, selain dapat mengelakkan penggera palsu serta ia dapat membantu pasukan keselamatan dalam membuat keputusan untuk meningkatkan kecekapan keseluruhan kawalan keselamatan di sempadan.

“Buat masa ini KDN dalam pelaksanaan kajian kebolehlaksanaan penggunaan sistem NBCS di bawah peruntukan Rolling Plan ke-3 Rancangan Malaysia Ke-12,” katanya dalam sidang Parlimen di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) mengenai apakah inisiatif kementerian bagi meningkatkan penggunaan teknologi, terutamanya melibatkan AI dalam memperkukuhkan kawalan sempadan negara untuk mengurangkan risiko berlakunya ancaman jenayah kepada negara.

Tambah Shamsul, kajian tersebut dilaksanakan Institut Keselamatan Awam Malaysia (IPSOM) melalui pelantikan pasukan penyelidik serta pakar daripada universiti awam yang telah bermula pada 7 Sept 2023 dan tempoh kajian adalah selama 14 bulan yang dijangka berakhir pada November ini.

Mengulas lanjut, Shamsul berkata, KDN kini sedang membangunkan sistem biometrik dengan keupayaan AI iaitu Automatic Biometric Identification System (ABIS) dan ia dijangka sedia untuk digunakan pada tahun 2026.

Beliau berkata demikian bagi menjawab
soalan tambahan Datuk Adnan yang bertanyakan mengenai adakah KDN bercadang menaik taraf kemudahan di pintu masuk negara dengan menggunakan sistem pengecaman muka.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button