BERITA SEMASADALAM NEGERI

KDN haramkan tujuh buku, ideologi gugat keharmonian

KUALA LUMPUR – Sebanyak tujuh buah buku dikenakan Perintah Larangan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) susulan kandungan yang dipercayai boleh menggugat keharmonian masyarakat dan ketenteraman awam.

KDN dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa larangan tersebut dikuatkuasakan mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301] ke atas tujuh terbitan yang diteliti antara 15 hingga 17 April lalu.

Antara judul yang dikenakan tindakan termasuk novel-novel popular seperti Love, Theoretically karya Ali Hazelwood; Tuan Ziyad: Forbidden Love (Bellesa); Darlingku Mr Cold Mafia (Nur Firsha); Mischievous Killer (Aira Syuhairah); Kougar 2 (Shaz Johar) dan The American Roommate Experiment (Elena Armas).

Menurut KDN, kesemua buku tersebut dipercayai mengandungi elemen yang “mungkin memudaratkan moral,” dan diwartakan di bawah Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini).

Selain itu, satu lagi terbitan bertajuk Suhuf Abraham turut disenarai hitam atas alasan “mungkin memudaratkan ketenteraman awam.”

“Perintah Larangan ini adalah langkah kawalan dan pencegahan proaktif agar unsur ancaman atau kemudaratan tidak berlaku dalam masyarakat,” menurut kenyataan tersebut.

Di bawah subseksyen 7(1) Akta 301, sebarang aktiviti berkaitan pencetakan, penerbitan, pengedaran mahupun pemilikan bahan yang disenaraikan dalam Perintah Larangan adalah dilarang sama sekali.

Individu yang melanggar larangan ini boleh didakwa dan, jika disabitkan, berdepan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 – atau kedua-duanya sekali.

Tindakan ini menandakan ketegasan KDN dalam membendung penyebaran ideologi atau fahaman yang dilihat bertentangan dengan nilai masyarakat dan norma negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button