KDN haramkan enam tajuk penerbitan
PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini menyenaraikan enam tajuk penerbitan ‘yang mungkin memudaratkan kemoralan’ diharamkan di Malaysia menurut Perintah Larangan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).
Perintah itu, kata KDN, berkuat kuasa 19 Disember lepas dan dibuat berasaskan konsep kawalan dan pencegahan sebelum suatu ancaman atau kemudaratan itu berlaku.
“Selaras dengan prinsip Rukun Negara ‘Kesopanan dan Kesusilaan’ dan sosiobudaya tempatan, KDN yang diberi tanggungjawab untuk menjaga keselamatan dan ketenteraman awam akan mengambil tindakan untuk mengawal dan menguatkuasakan peraturan terhadap mesin cetak dan penerbitan dalam negara.
“Ini penting bagi mengelakkan penyebaran ideologi atau gerakan yang bertentangan dengan budaya serta nilainilai murni masyarakat Malaysia yang majmuk,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Senarai tajuk penerbitan:
1) “A Million Kisses In Your Lifetime” oleh Monica Murphy melalui Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini) 2024 [P.U.(A) 409];
2) “Lose You To Find Me” oleh Erik J. Brown melalui Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini) (No. 2) 2024 [P.U.(A) 410];
3) “Punai” oleh Asyraf Bakti melalui Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini) (No. 3) 2024 [P.U.(A) 411];
4) “Scattered Showers” oleh Rainbow Rowell melalui Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini) (No. 4) 2024 [P.U.(A) 412];
5) “When Everything Feels Like The Movie” oleh Raziel Reid melalui Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini) (No. 5) 2024 [P.U.(A) 413]; dan
6) “What If It’s Us” oleh Becky Albertalli dan Adam Silverra melalui Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini) (No. 6) 2024 [P.U.(A) 414].
Menurut KDN, kesemua enam tajuk penerbitan tersebut mungkin memudaratkan moral, dan pencetakan, pengimportan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikannya adalah dilarang secara mutlak di Malaysia.
“Berdasarkan peruntukan di bawah subseksyen 8(2) Akta 301, mana-mana individu yang mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengeliling, menawarkan untuk menjual, mengedar, atau ada dalam milikannya bagi apa-apa jua maksud seperti itu apa-apa hasil penerbitan larangan melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau didenda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya,” kata KDN lagi.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berkaitan hasil penerbitan yang telah dikenakan tindakan Perintah Larangan di bawah Akta 301 boleh merujuk pada laman sesawang KDN https://epq.kdn.gov.my/e-pq/index.php?mod=public atau Perundangan Persekutuan https://lom.agc.gov.my/index.php?language=BM.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






