BERITA SEMASA

KDN akur keputusan mahkamah, sedia pinda Seksyen 9(5) APA

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan akan meneliti secara menyeluruh keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengisytiharkan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012 sebagai tidak berperlembagaan, termasuk mempertimbangkan cadangan pindaan terhadap undang-undang berkenaan.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan tersebut selaras dengan semangat pembaharuan undang-undang di bawah Kerajaan MADANI yang komited menjunjung tinggi Perlembagaan serta prinsip demokrasi.

“Keputusan Mahkamah Persekutuan semalam diambil maklum dengan penuh hormat. KDN akan meneliti kesan keputusan itu dan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut beliau, Kabinet sebelum ini melaksanakan moratorium terhadap sebarang pendakwaan di bawah Seksyen 9(5) sebagai langkah awal ke arah reformasi menyeluruh terhadap undang-undang berkaitan kebebasan berhimpun.

Keputusan Mahkamah Persekutuan itu diputuskan sebulat suara oleh panel tiga hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat bersama Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Rhodzariah Bujang.

Tengku Maimun dalam penghakiman menyatakan Subseksyen 9(5) bertentangan dengan hak kebebasan berhimpun di bawah Perkara 10(1)(b) dan prinsip kesamarataan yang dijamin Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas lanjut, Saifuddin memaklumkan KDN turut bercadang membentangkan pindaan terhadap Seksyen 11 APA dalam sidang Parlimen akan datang.

Katanya, rakyat semakin matang dalam melaksanakan hak berhimpun secara aman dan bertanggungjawab apabila statistik menunjukkan hampir keseluruhan himpunan sejak tahun lalu berlangsung tanpa sekatan.

“Sejak 2023, lebih 10,000 perhimpunan telah diadakan dan 98 peratus daripadanya berlangsung aman. Tahun lalu sahaja daripada lebih 7,000 perhimpunan, 99 peratus tidak menghadapi sebarang sekatan.

“Kerajaan MADANI akan terus memastikan hak rakyat untuk berhimpun secara aman dapat dilaksanakan dalam suasana yang tertib dan selamat demi menjamin ketenteraman awam,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button