
KBS lancar Dana Antarabangsa Belia
PUTRAJAYA – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini mengumumkan pelancaran Dana Antarabangsa Belia KBS.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli berkata, dana ini merupakan inisiatif Kerajaan MADANI dalam memperkasakan pembangunan belia melalui penyertaan dalam mesyuarat, forum, persidangan dan simposium di peringkat antarabangsa.
“Inisiatif ini bertujuan untuk memperkukuh penglibatan aktif, membangunkan kemahiran kepimpinan dan advokasi, memberikan pendedahan di peringkat antarabangsa serta memperluas rangkaian belia selari dengan nilai teras daya cipta dan keyakinan dalam Malaysia MADANI.
“KBS juga berharap, dana ini akan dapat melahirkan generasi belia yang berdaya saing dan berupaya membawa suara Malaysia ke persada dunia,” katanya ketika mengumumkan dana tersebut, di sini hari ini.
Dana tersebut, katanya, akan digunakan bagi menyokong penyertaan belia Malaysia dalam sebarang bentuk mesyuarat, forum, persidangan, dan simposium.
Sebagai permulaan, sebanyak RM500,000 diperuntukkan, dengan had ditetapkan sebanyak RM20,000 bagi setiap peserta.
“Skop penajaan (dana) merangkumi yuran penyertaan, tiket penerbangan pergi dan balik (kelas ekonomi), elaun penginapan, elaun makan, insurans dan visa mengikut kadar yang ditetapkan oleh KBS,” kada Adam Adli lagi.
Tambahnya, permohonan ini terbuka kepada warganegara Malaysia berumur 18 hingga 30 tahun dan berdaftar sebagai ahli persatuan,
pertubuhan, atau kelab yang berdaftar dengan Pejabat Pendaftar
Pertubuhan Belia (ROY), Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) atau
Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).
Permohonan IYF@KBS akan dilaksanakan melalui dua jendela iaitu mulai hari ini hingga 3 Mei dan hingga 1 Ogos 2025.
Maklumat lanjut dan perincian proses permohonan dana ini boleh
diakses melalui laman sesawang rasmi Kementerian Belia dan
Sukan (www.kbs.gov.my/ivf), atau berhubung terus Sekretariat IYF melalui talian 03-88713356 atau e-mel di international@kbs.gov.my
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |