BERITA SEMASADALAM NEGERI

Kawalan harga musim perayaan tahun ini terbaik dalam sejarah – Mohamad Sabu

SERDANG – Kawalan harga barang sepanjang musim Hari Raya Aidilfitri tahun ini dianggap antara yang terbaik dalam sejarah.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata, harga barangan keperluan utama seperti ayam, telur, sayur-sayuran, ikan dan daging kekal stabil sepanjang bulan Ramadan dan Syawal tanpa lonjakan harga yang membebankan pengguna.

“Jemaah Menteri mengiktiraf kawalan harga musim perayaan tahun ini sebagai antara yang terbaik dalam sejarah,” katanya dalam ucapan Perhimpunan Bulanan Majlis Ramah Mesra Aidilfitri di MAEP, Serdang hari ini.

Dalam pada itu Mohamad Sabu berkata, keterjaminan bekalan beras juga diberi perhatian apabila sebanyak 3.16 juta kampit beras 10 kilogram diagih ke seluruh negara sehingga pertengahan April ini.

Katanya, Program Khas Pengedaran Beras Putih Tempatan (BPT) Bersubsidi melibatkan lebih 47,000 premis runcit berdaftar dengan agihan tertinggi dicatatkan di negeri Selangor, Kedah, Perak dan Johor.

“Langkah ini amat penting dalam memastikan rakyat mendapat bekalan beras pada harga berpatutan secara konsisten,” katanya.

Mengulas lanjut, Program Semarak Syawal 2025 yang berlangsung dari 22 hingga 30 Mac lalu katanya berjaya mencatatkan nilai jualan sebanyak RM21.43 juta, sekali gus melepasi sasaran awal RM20 juta.

“Program ini memberikan manfaat besar kepada pengguna melalui penawaran barangan keperluan Aidilfitri pada harga berpatutan, di samping meningkatkan pendapatan 9,005 usahawan tempatan di 262 lokasi seluruh negara,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button