Karnival Hari Keluarga Warga ATM Kota Belud disambut meriah
KOTA BELUD – Karnival Hari Keluarga Warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Zon Kota Belud yang berlangsung hari ini diraikan dengan penuh kemeriahan, sekali gus memperlihatkan hubungan erat dalam kalangan warga tentera dan komuniti setempat.
Menurut Kementerian Pertahanan (MINDEF), karnival yang disempurnakan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin itu bukan sekadar medan riadah, malah menjadi wadah menghargai jasa, pengorbanan dan komitmen warga ATM dalam menjaga keselamatan serta kedaulatan negara.
“Penganjuran karnival berkenaan bertujuan memperkukuh ikatan kekeluargaan, memupuk semangat kebersamaan serta meningkatkan kesejahteraan warga ATM dan ahli keluarga mereka.
“Kehadiran besar warga ATM bersama komuniti daerah itu turut mencerminkan sokongan padu masyarakat terhadap institusi pertahanan negara,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Dalam kenyataan sama, MINDEF menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh agenda kebajikan dan kesejahteraan warga tentera serta keluarga mereka, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Dalam pada itu, pelbagai pengisian disediakan termasuk aktiviti sukan, acara riadah, pameran dan sesi libat urus bersama masyarakat Kota Belud, sekali gus membuka ruang interaksi lebih dekat antara anggota ATM dan penduduk tempatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






