
Kapal MPMS bakal tingkat penguatkuasaan Maritim Malaysia
ANKARA – Malaysia terus memperkukuh keselamatan perairan negara dengan termeterainya perjanjian perolehan Kapal Misi Pelbagai Guna (MPMS) untuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Majlis menandatangani Surat Setuju Terima (SST) bagi perolehan kapal itu berlangsung di Desan Shipyard, Turkiye semalam, selaras dengan usaha meningkatkan keupayaan operasi Maritim Malaysia dalam memastikan keselamatan maritim negara, khususnya di Laut China Selatan.
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Awang Alik Jeman berkata, perolehan kapal bernilai USD68.8 juta (RM304.29) itu adalah langkah strategik dalam memperkukuh keselamatan perairan negara, selain mencerminkan hubungan erat Malaysia dan Turkiye dalam sektor pertahanan dan industri pembinaan kapal.
“Kapal MPMS ini akan menjadi aset penting dalam mempertingkatkan keupayaan penguatkuasaan Maritim Malaysia.
“Kerjasama ini membuktikan komitmen kedua-dua negara dalam menangani ancaman keselamatan maritim yang semakin kompleks, termasuk pencerobohan vesel asing dan aktiviti jenayah rentas sempadan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah menjelaskan, kapal ini dilengkapi dengan teknologi canggih dan sistem operasi moden yang mampu meningkatkan keberkesanan kawalan perairan negara.
“Kapal sepanjang 99 meter ini boleh beroperasi selama 30 hari tanpa henti dan mampu membawa 70 kru serta 30 penumpang.
“Ia juga dilengkapi dengan empat bot pemintas pantas (FIC), dua dron udara tanpa pemandu (UAV), dek pendaratan helikopter, fasiliti perubatan serta pusat tahanan,” katanya.

Beliau menambah, apabila kapal ini siap dibina, ia akan memberi tumpuan kepada pengawasan di Laut China Selatan, terutama dalam menangani pencerobohan vesel asing, aktiviti penangkapan ikan haram, penyeludupan dan pemerdagangan manusia.
Terdahulu, majlis pemeteraian perjanjian ini adalah sebahagian daripada rentetan sesi pertukaran dokumen rasmi yang disaksikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdoğan ketika lawatan rasmi pemimpin Turkiye itu ke Malaysia pada 11 Februari lalu.
Selain majlis menandatangani SST ini, delegasi Malaysia turut mengadakan lawatanke ibu pejabat dan limbungan selenggara Desan Shipyard, bagi melihat keupayaan dan kemampuan syarikat berkenaan dalam pembinaan kapal.
Dengan perolehan MPMS ini, Maritim Malaysia yakin dapat meningkatkan kecekapan operasi, sekali gus memperkukuh kawalan keselamatan perairannegarabagi memastikan kedaulatan maritim Malaysia terus terpelihara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








