Arahan turun kandungan dalam talian selari peruntukan undang-undang – Fahmi
KUALA LUMPUR – Setiap tindakan atau permintaan bagi menurunkan sesuatu kandungan dalam talian dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa, tanpa mengambil kira latar belakang atau kecenderungan politik mana-mana individu mahupun pihak terbabit.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata, langkah itu penting bagi memastikan kebebasan bersuara yang dinikmati rakyat tidak disalah tafsir atau disalah guna, selain menyeimbangkan hak peribadi dengan kepentingan awam demi keharmonian masyarakat.
Fahmi berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalankan fungsi kawal selia dan penguatkuasaan berdasarkan perundangan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
“Tindakan yang diambil MCMC adalah selaras dengan tanggungjawab statutori di bawah Akta 588 bagi memastikan penyebaran maklumat dilakukan secara bertanggungjawab dan tanpa menyebarkan maklumat palsu.
“Langkah itu juga penting bagi mengekang ucapan berbaur kebencian serta melindungi integriti Raja berperlembagaan dan institusi demokrasi daripada sebarang percubaan untuk mencetuskan kebencian atau penghinaan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat semalam.
Beliau menjawab soalan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) mengenai sejauh mana ketelusan kerajaan dalam melaksanakan sekatan terhadap kandungan digital di media sosial, terutama yang menjurus kepada fitnah dan berita tidak benar.
Fahmi menjelaskan, setiap tindakan yang dilaksanakan terhadap kandungan yang melanggar undang-undang secara amnya berbentuk permohonan kepada penyedia perkhidmatan dalam talian dan tertakluk kepada penilaian serta pertimbangan mereka berdasarkan garis panduan komuniti yang ditetapkan.
Bulan lalu, Fahmi memaklumkan, MCMC mengemukakan 139,880 permohonan kepada penyedia perkhidmatan untuk menurunkan kandungan berunsur penipuan dan 95 peratus daripadanya berjaya diturunkan dari 1 Januari 2022 hingga 30 September lalu.
Selain itu, secara keseluruhan, sebanyak 558,108 kandungan dalam talian dilapor diturunkan oleh penyedia platform sejak 1 Januari 2022 hingga 1 Ogos lalu, membabitkan kandungan perjudian, penipuan, kandungan jelik, buli atau gangguan dan kandungan palsu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






