BERITA SEMASALUAR NEGARA

Kanak-kanak koma dihempas ke lantai lapangan terbang Moscow

MOSCOW – Seorang kanak-kanak lelaki menjadi mangsa serangan kejam apabila dicampak dengan kuat ke lantai oleh seorang pelancong warga Belarus dalam kejadian mengejutkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Sheremetyevo, Moscow, semalam.

Suspek dikenali sebagai Vladimir Vitkov, 31, dirakam menerusi kamera litar terbuka (CCTV) memperhatikan mangsa yang berada berhampiran beg pakaian, sebelum secara tiba-tiba mencengkam dan mencampaknya ke lantai dengan kekasaran.

Kejadian ngeri itu berlaku ketika ibu mangsa yang sedang hamil, sedang mengambil kereta sorong selepas mereka sekeluarga tiba dari penerbangan antarabangsa.

Mangsa yang cedera parah segera diselamatkan oleh seorang lelaki yang berlari mendapatkan bantuan, sebelum dihantar ke hospital bagi rawatan kecemasan.

Menurut laporan media tempatan, keluarga kanak-kanak itu dipercayai baru sahaja tiba di Rusia setelah melarikan diri dari Iran melalui Afghanistan.

Motif serangan masih disiasat, namun pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan tindakan tersebut dipengaruhi sentimen kebencian atau pengaruh dadah.

Hasil ujian awal mendapati kesan ganja dikesan dalam darah suspek dan beberapa bahan terlarang turut ditemui dalam simpanannya.

Suspek yang dipercayai tiba ke Moscow dari Cyprus atau Mesir dilaporkan gagal memberikan penjelasan rasional kepada pihak polis mengenai tindakannya.

Dalam satu kenyataan kepada pihak berkuasa, beliau hanya berkata: “Saya pernah melakukan kesilapan seperti ini dahulu.”

Insiden itu mencetuskan kemarahan pelbagai pihak, termasuk Pesuruhjaya Hak Kanak-Kanak Wilayah Moscow, Ksenia Mishonova, yang menyifatkan tindakan Vitkov sebagai tidak berperikemanusiaan.

“Dia adalah raksasa (suspek) yang khayal dadah dan telah menyerang seorang kanak-kanak tidak berdosa. Ini adalah sesuatu yang amat sukar untuk diterima dan dimaafkan.
“Saya berharap suspek menerima hukuman setimpal di bawah undang-undang,” katanya dalam kenyataan rasmi.

Difahamkan, Vitkov sendiri mempunyai seorang anak perempuan yang sebaya dengan mangsa.

Jawatankuasa Siasatan Persekutuan Rusia kini menjalankan siasatan menyeluruh terhadap insiden tersebut di bawah pertuduhan cubaan membunuh.

“Seorang lelaki, dalam keadaan khayal akibat dadah, telah mencengkam seorang kanak-kanak dan mencampak ke lantai dengan kekuatan yang ketara. Nasib baik tindakan pantas saksi kejadian berjaya menghentikan serangan selanjutnya,” jelas kenyataan rasmi.

Kejadian tersebut berlaku sekitar tengah malam di balai ketibaan terminal antarabangsa, di salah satu lapangan terbang paling sibuk di Rusia yang mencatat lebih 40 juta penumpang setahun.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button