BERITA SEMASADALAM NEGERI

Penduduk Kampung Papan dijamin rumah mampu milik – MB

SHAH ALAM — Usaha Kerajaan Negeri Selangor untuk menyelesaikan kemelut tanah di Kampung Papan, Pandamaran, akhirnya menemukan titik penyelesaian apabila penduduk terlibat dijanjikan penempatan baharu berbentuk rumah mampu milik yang akan dibina oleh Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB).

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, persetujuan itu dicapai hasil rundingan yang dimuktamadkan pada mesyuarat pagi tadi selepas pemaju bersetuju menyerahkan tanah seluas 2.8 hektar bagi tujuan pembangunan semula.

“Akhirnya, pemaju bersetuju menyerahkan tujuh ekar (2.8 hektar) tanah. Kita akan membangunkannya untuk penduduk berkenaan tetapi ia mengambil masa kerana membabitkan pembangunan menyeluruh.

“Untuk sementara waktu, penduduk terbabit boleh tinggal di rumah Smart Sewa. Jika ada masalah kewangan, kita boleh bincang,” katanya pada sidang media selepas membentangkan Belanjawan Selangor 2026, di sini, hari ini.

Walau bagaimanapun, Amirudin meluahkan rasa kesal kerana pertikaian itu berlarutan terlalu lama sedangkan kerajaan negeri bertindak sebagai perantara bagi memastikan penyelesaian yang adil kepada semua pihak.

Menurutnya, penyelesaian lebih awal dapat dicapai sekiranya wakil penduduk tidak membawa kes berkenaan ke mahkamah.

Beliau menjelaskan, kerajaan negeri sebelum ini sudah beberapa kali mencuba mencari jalan tengah, termasuk ketika penggal lalu, namun persetujuan tidak dicapai.

“Pemaju mahu menyediakan tapak tetapi masing-masing enggan mengalah dan mahu meneruskan kes di mahkamah.

“Akhirnya apa yang terjadi ialah mereka meneruskan kes dan mahkamah membuat keputusan bahawa tanah itu milik pemaju. Kerajaan negeri cuba membantu tetapi usaha itu tidak berjaya,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan sebanyak 20 rumah di Kampung Papan terbabit dalam kerja pengosongan sejak Isnin bagi memberi laluan kepada projek pembangunan baharu, namun proses itu bertukar kecoh apabila sebahagian penduduk serta wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bertindak membantah perobohan tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button