
Kampung Melayu juga boleh dicadang sebagai Tapak Warisan Unesco – Kor Ming
Kor Ming menyifatkan tuduhan mendakwa beliau mencabar kepentingan Orang Melayu adalah tidak masuk akal
PUTRAJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyambut baik cadangan dari pelbagai pihak untuk mencalonkan kampung melayu atau mana-mana tempat berpotensi dan bersejarah sebagai tapak warisan Unesco.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, kementerian itu mendukung prinsip Malaysia MADANI yang menekankan enam nilai penting iaitu Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan yang menjadi tonggak hala tuju negara.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu cadangan mewartakan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai tapak warisan Unesco baru-baru ini yang menurutnya masih dalam peringkat cadangan.
Justeru katanya, tuduhan yang mendakwa beliau mencabar kepentingan Orang Melayu dan Bumiputera melalui usaha itu adalah tidak masuk akal dan tidak seharusnya dijadikan isu perkauman.
“Saya telah banyak kali menekankan bahawa falsafah kepimpinan KPKT adalah berlandaskan Rukun Negara dan saya berazam dan berhasrat untuk membuktikannya,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini media melaporkan Kor Ming mahu mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco, bagi mengiktiraf kepentingan budaya dan sejarah penempatan itu.
Kor Ming berkata, sepanjang tahun 2023, pelbagai inisiatif mesra rakyat telah dilaksanakan kementerian itu tanpa mengira kaum, agama, dan bangsa.
“Antaranya, peruntukkan RM42 juta yang diberikan untuk membina rumah baharu atau membaik pulih 2,016 buah rumah rakyat miskin dan miskin tegar melalui Bahagian Kesejahteraan Komuniti (BKK).
“KPKPT juga memperuntukkan RM50 juta untuk kerja-kerja menyelenggara dan membaik pulih rumah-rumah ibadat bukan Islam.
“Selain itu, KPKT juga menambahbaikan 400 buah kuarters bomba di seluruh negara dengan peruntukan RM50 juta dan banyak lagi,” katanya.
Selain itu beliau berkata, KPKT juga memperkenalkan Garis Panduan Perancangan Pembangunan (GPP) Bandar Diraja untuk sembilan bandar di raja di Semenanjung Malaysia sebagai panduan pembangunan yang merangkumi aspek warisan, identiti, ekonomi dan pelancongan.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |