
Kampung Labu Lanjut diiktiraf kampung angkat MADANI 2025
SEPANG – Kampung Labu Lanjut kini diangkat sebagai Kampung Angkat MADANI 2025 oleh Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Majlis pelancaran rasmi disempurnakan oleh EXCO Perumahan dan Kebudayaan Negeri Selangor yang juga Ahli Dewan Negeri Tanjong Sepat, Datuk Borhan Aman Shah dalam satu program yang berlangsung meriah, kelmarin.
Menurut Ahli Majlis Zon Labu, Hazimun Rahmad Mohammad, pemilihan Kampung Labu Lanjut sebagai kampung angkat adalah satu pengiktirafan besar kepada penduduk setempat dan menjadi landasan untuk pembangunan mampan di kawasan tersebut.
“Alhamdulillah, Kampung Labu Lanjut secara rasmi dilancarkan sebagai Kampung Angkat MADANI 2025, terima kasih kepada Akademi Kenegaraan Malaysia atas kepercayaan memilih kampung ini di bawah Zon Labu.
“Ini satu peluang besar untuk kita membangunkan pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada komuniti,” katanya.

Antara inisiatif utama yang bakal direalisasikan ialah penubuhan Pasar Sari dan pembangunan Floating Market (Pasar Terapung) yang dirancang bersebelahan kawasan strategik kampung tersebut.
Idea tersebut pernah dicadangkan oleh Hazimun pada Tahun Melawat Sepang 2020, dan kini diberi nafas baharu menerusi peruntukan Kampung Angkat MADANI.
“Inisiatif ini bertujuan menarik pelancong ke Sepang, khususnya sebelum mereka pulang ke negara masing-masing.
“Dalam masa sama, ia membuka ruang kepada penduduk untuk terlibat dalam aktiviti ekonomi tempatan,” jelasnya
Turut hadir memeriahkan majlis ialah ADUN Sungai Pelek, Lwi Kian Keong, Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Sepang, Anis Afida, Ketua Pengarah AKM, Datuk Dr Roslan Hussain, Pegawai Daerah Sepang, Khairi Azali Ibrahim serta barisan pegawai-pegawai kerajaan dan AJK Penggerak yang komited menjayakan program itu.
Dengan pelantikan rasmi ini, Kg Labu Lanjut dijangka menjadi contoh model pembangunan desa yang progresif, seiring dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |