Berita Semasa

Kampong Bharu rai ulang tahun ke-125 dengan MoU pemuliharaan warisan

KUALA LUMPUR – Kampong Bharu, warisan budaya Melayu yang ikonik di tengah ibu kota, menyambut ulang tahun ke-125 dengan satu majlis bersejarah bagi memeterai memorandum persefahaman (MoU) dan memorandum perjanjian (MoA) antara Lembaga Pentadbiran Malay Agricultural Settlement (M.A.S) Kampong Bharu dan rakan-rakan strategik.

Majlis simbolik itu menandakan komitmen berterusan pelbagai pihak dalam memulihara warisan Kampong Bharu, selain memperkukuh sejarah dan budaya masyarakat Melayu.

Setiausaha Kehormat M.A.S, Shamsuri Suradi berkata, ulang tahun ke-125 ini membuktikan komitmen M.A.S sebagai badan yang ditugaskan untuk mentadbir Kampong Bharu sejak tahun 1900.

Majlis pelancaran sambutan 125 tahun Kampong Bharu.

“Kami amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan rakan-rakan strategik bagi memastikan kelestarian Kampong Bharu sebagai pusat kebudayaan dan warisan Melayu yang dinamik, ” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, Kampong Bharu bukan sekadar kawasan penempatan, tetapi permulaan kepada banyak kisah kejayaan masyarakat Melayu.

Penyerahan MoU bersama M.A.S dan pemegang taruh sambutan 125 tahun Kampong Bharu.

“Setiap bangunan, lorong dan masjid di sini adalah saksi perjalanan komuniti Melayu yang penuh sejarah. Saya berharap semangat ini terus hidup dan menginspirasi generasi muda,” tambahnya lagi.

Antara rakan strategik yang terlibat dalam pemeteraian MoU dan MoA itu ialah Persatuan Alumni Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Persatuan Karyawan Malaysia, Persatuan Waris Nakhoda Yusof serta syarikat swasta seperti Mike Bikes Sdn. Bhd. dan Elenet Sdn. Bhd.

Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni ASWARA, Prof. Madya Ts. Is. Dr. Zulkifli Ab Rashid, yang juga Penasihat Kehormat M.A.S berkata, kepentingan memelihara identiti dan sejarah Kampong Bharu di sebalik arus pembangunan.

“Kita harus memastikan bahawa pembangunan yang bakal dilaksanakan berpaksikan pemeliharaan identiti, bukan penghapusan warisan,” katanya lagi.

Majlis itu turut dihadiri wakil kerajaan, pemimpin masyarakat, NGO, syarikat swasta, serta penduduk setempat.

Sepanjang tahun ini, pelbagai program telah dirancang untuk memeriahkan sambutan ulang tahun Kampong Bharu, termasuk pameran Kampong Bharu Truly Kuala Lumpur, Pasar Minggu Kampong Bharu, Konsert Irama Tradisi Kampong Bharu, Kampung Bharu Berselawat serta Podcast M.A.S Kampong Bharu.

Dengan pelbagai inisiatif yang dirangka, ulang tahun ke-125 Kampong Bharu bukan sekadar perayaan tetapi satu langkah penting dalam memastikan warisan budaya dan sejarahnya terus kekal untuk generasi akan datang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button