Kadar tarif bil air naik mulai 1 Feb
CYBERJAYA – Kadar tarif air akan mengalami pelarasan di bawah Mekanisme Penetapan Tarif bagi pengguna kategori domestik di seluruh Semenanjung dan Labuan berkuat kuasa 1 Februari ini.
Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dalam satu kenyataan hari ini berkata, pelarasan itu akan melibatkan kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu.
Kata SPAN, pelarasan itu dilaksanakan berdasarkan keperluan dan permintaan kerajaan negeri, namun, kerajaan Persekutuan melalui SPAN akan memantau secara dekat bagi memastikan penambahbaikan perkhidmatan air dilaksanakan selaras dengan kenaikan tarif berkenaan.
“Kenaikan ini masih rendah dan tidak dapat menampung kos sebenar penyediaan perkhidmatan bekalan air sebanyak RM1.75 bagi setiap meter padu berdasarkan rekod sebenar 2022,” kata SPAN dalam kenyataan terseebut, hari ini.
Sehubungan itu, tambahnya, struktur dan komponen tarif akan diseragamkan untuk negeri-negeri di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan, manakala tarif air akan dikaji semula setiap tiga tahun untuk memastikan keselarasan dalam penentuan bayaran.
Ketika menjelaskan kenaikan tersebut, SPAN berkata, pelarasan tarif air dilaksanakan susulan operator air di negeri-negeri menghadapi beberapa kekangan dan cabaran dalam menyampaikan perkhidmatan pembekalkan air berkualiti kepada pengguna.
“Antaranya kualiti air tidak terawat tidak memuaskan, kadar air tidak berhasil (NRW) tinggi, lambakan paip usang melebihi 30 tahun, Loji Rawatan Air (LRA) melebihi kapasiti, hutang tertunggak tinggi dan pendapatan yang tidak dapat menampung kos operasi,” ujar SPAN.
Justeru, SPAN menyatakan, pelarasan tarif air yang mencerminkan kos bekalan air sangat penting bagi membolehkan operator air meningkatkan tahap perkhidmatan dalam membekalkan air yang berkualiti secara berterusan.
“Melalui semakan tarif ini, operator air lebih bersedia untuk membuat pelaburan berterusan bagi membangunkan infrastruktur sistem bekalan air seperti membina atau menaik taraf loji rawatan air, membuat penggantian paip usang, melaksanakan penyenggaraan secara berkala dan menangani aduan dengan lebih cekap demi menjamin kelangsungan perkhidmatan bekalan air dan sekali gus memenuhi ekspektasi pengguna,” jelas SPAN.
SPAN turut memaklumkan, pelarasan tarif air bagi kategori domestik tidak lagi boleh ditangguhkan agar tidak menjejaskan kemapanan industri perkhidmatan air dalam jangka masa panjang sekali gus memberi impak kepada kualiti perkhidmatan bekalan air yang dinikmati oleh rakyat.
“Justeru, pengguna domestik akan mengalami kenaikan bil air dalam julat RM1.60 sen hingga RM8.00 sebulan atau 5 sen hingga 27 sen sehari bagi penggunaan isi rumah sebanyak 20 meter padu sebulan.
“Pada masa yang sama, pengguna kategori bukan domestik akan mengalami kenaikan bil dalam julat RM0.40 hingga RM2.00 sebulan atau 1 sen hingga 7 sen sehari bagi penggunaan bulanan sebanyak 20 meter padu hasil daripada pengenaan caj elektrik,” kata kenyataan itu lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






