
Kadar SARA isi rumah dinaikkan ke RM1,200
PUTRAJAYA – Kerajaan menaikkan kadar Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi isi rumah kepada RM1,200 tahun ini berbanding RM600 pada 2023, manakala kadar bagi golongan bujang pula kekal RM600.
Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan semalam memaklumkan, program itu dijangka memanfaatkan lebih 700,000 penerima dengan peruntukan RM700 juta berbanding 210,000 penerima dengan perbelanjaan RM130 juta pada tahun lepas yang menyaksikan peningkatan peruntukan lebih lima kali ganda.

Kementerian Kewangan memaklumkan, inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha menambah baik SARA sebagai bantuan subsidi bersasar kepada rakyat yang paling terkesan dengan kos sara hidup.
“Transformasi ekonomi Malaysia bermula dengan mengangkat darjat rakyat. Penambahbaikan program SARA ini merupakan satu langkah awal untuk menangani kesenjangan kekayaan serta membina sebuah masyarakat yang inklusif seperti didambakan dalam kerangka Ekonomi MADANI,” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan, dalam kenyataan tersebut.
SARA yang bakal dilaksana secara berperingkat bermula 22 Jan ini mempunyai sasaran untuk mengangkat taraf ekonomi golongan rentan dan menjunjung prinsip kesaksamaan yang menjadi teras kepada kerangka Ekonomi MADANI.
Penambahbaikan SARA turut melibatkan usaha memperluas penerima yang layak merangkumi golongan miskin dan miskin tegar, berbanding pada 2023 yang hanya terhad kepada miskin tegar.
Penggunaan kredit program SARA turut diperluas daripada hanya makanan asas kepada tiga kategori barangan asas tambahan iaitu barangan kebersihan diri, ubat-ubatan dan peralatan persekolahan.
Di bawah program ini, penerima yang layak boleh membeli barang keperluan asas terpilih dengan menggunakan myKAD di kedai-kedai runcit berdaftar.
Pelaksanaan SARA akan bermula pada 22 Jan ini bagi penerima dari Semenanjung Malaysia manakala penyaluran bantuan tunai untuk penerima dari Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan akan bermula pada 19 Feb.
Mengambil kira sambutan program SARA yang menggalakkan pada tahun lepas, kerajaan juga telah meluaskan rangkaian rakan runcit (pasar raya/kedai) yang mengambil bahagian kepada 515 buah (setakat 17 Jan 2024) berbanding 424 buah (tahun 2023) di seluruh negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






