BERITA SEMASA

Kadar defisit yang turun mendadak berisiko bantutkan peruntukan tambahan

KUALA LUMPUR – Kadar defisit yang diturunkan secara mendadak berisiko membantutkan peruntukan tambahan untuk sektor pendidikan, Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan kesihatan.

Sehubungan itu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan membuat keputusan untuk menurunkan kadar tersebut secara berfasa bagi mengurangkan beban hutang negara.

Beliau menjelaskan, defisit yang dicatatkan pada kadar 5.5 peratus pada 2022 telah menurun secara berfasa kepada lima peratus pada 2023 dan seterusnya kepada 4.1 peratus pada 2024.

“Sasaran kita ialah menurunkan defisit secara berfasa. Selagi defisit tidak diturunkan, jumlah hutang akan bertambah.

“Sebab itu, dari segi hutang, saya sebut bahawa pada 2021, hutang baharu adalah sebanyak RM100 bilion; 2022 (RM99 bilion), 2023 (RM92.6 bilion) dan 2024 (RM76.8 bilion),” kata beliau pada waktu pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, peruntukan di bawah program STR dan SARA bertambah sehingga RM15 bilion manakala Kementerian Pendidikan mendapat tambahan tertinggi, iaitu sehingga RM64 bilion dan kesihatan (RM45 bilion).

Tambahnya, dasar yang dilaksanakan ini dilihat sebagai dasar fiskal yang bertanggungjawab berikutan keyakinan pelabur yang meningkat sama ada domestik atau asing terhadap Malaysia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button