
Kad Nusuk ditingkat ciri keselamatan elak pemalsuan – Mohd Na’im
SEPANG – Kad Nusuk yang digunakan sebagai dokumen rasmi pengenalan jemaah haji kini dilengkapi kod respons pantas (QR) serta ciri keselamatan baharu bagi mengelakkan pemalsuan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Beliau berkata, kad berkenaan kini mempunyai beberapa lapisan keselamatan tambahan yang dibangunkan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.
“Kalau ada cubaan untuk meniru kad ini, ia sukar kerana keselamatannya dipertingkat. Ini bagi memastikan keselamatan pemegang kad,” katanya pada sidang media selepas Majlis Mengucapkan Selamat Jalan kepada jemaah haji Malaysia Musim Haji 1446H/2025M, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Tan Sri Abdul Rashid Hussain.
Mohd Na’im berkata,Kad Nusuk, yang diperkenalkan tiga tahun lalu, memudahkan jemaah haji memasuki Masjidil Haram di Mekah, Masjid Nabawi di Madinah serta lokasi-lokasi ibadah lain.
“Tanpa kad ini, jemaah tidak dibenarkan masuk ke Masjidil Haram atau Masjid Nabawi. Sebab itu penting untuk mereka membawanya setiap masa,” katanya.
Beliau turut mengingatkan 284 jemaah haji Malaysia yang berlepas ke Tanah Suci pagi ini supaya menjaga Kad Nusuk seperti menjaga MyKad kerana ia mengandungi data penting seperti nombor pasport dan visa.
“Bila di tanah suci, kad ini sangat penting untuk pengesahan identiti. Jadi jagalah sebaik-baiknya,” katanya.
Mengenai penerbangan jemaah haji, Mohd Na’im berkata seramai 31,600 orang akan diterbangkan menerusi 100 penerbangan sewa khas AMAL by Malaysia Airlines Bhd dan Saudia Airlines bermula hari ini sehingga 1 Jun.
“Kumpulan pertama dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad bin Abdulaziz, Madinah pada 7.50 pagi waktu Arab Saudi,” katanya.
Malaysia menerima kuota rasmi 31,600 jemaah bagi musim haji tahun ini.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |