Jutaan pelarian Afghanistan diarah tinggalkan Iran bermula hari ini
TEHERAN – Kerajaan Iran menetapkan hari ini sebagai tarikh akhir bagi warga Afghanistan yang tinggal tanpa dokumen sah untuk meninggalkan negara itu secara sukarela atau berdepan tindakan pengusiran serta penahanan.
Arahan keras itu dikuatkuasakan ketika kebimbangan keselamatan dalam negeri meningkat susulan konflik berdarah selama 12 hari dengan Israel, yang turut melibatkan campur tangan Amerika Syarikat (AS) melalui serangan udara.
Menurut Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM) di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih 700,000 warga Afghanistan telah meninggalkan Iran sejak kempen pengusiran bermula, termasuk lebih 230,000 orang dalam bulan Jun sahaja.
“Kini, ratusan ribu lagi berada dalam kedudukan genting menanti masa untuk diusir,” IOM memetik laporan Al-Jazeera.
Tindakan kerajaan Iran itu mendapat kritikan daripada pertubuhan kemanusiaan antarabangsa yang memberi amaran bahawa pengusiran besar-besaran boleh memburukkan lagi ketidakstabilan di Afghanistan, salah sebuah negara termiskin di dunia.
Iran kini menempatkan kira-kira empat juta pelarian dan migran Afghanistan, termasuk ramai yang telah tinggal di negara itu sejak berdekad lalu, melarikan diri daripada perang, kemiskinan dan kekejaman rejim Taliban.
Dalam kenyataan terbaru, Suruhanjaya Tinggi PBB bagi Pelarian (UNHCR) menyatakan bahawa ketika tempoh konflik Iran-Israel memuncak, kadar pengusiran mencecah lebih 30,000 orang sehari — peningkatan drastik berbanding kira-kira 2,000 sehari sebelum itu.
Namun, jurucakap kerajaan Iran, Fatemeh Mohajerani, mempertahankan tindakan tegas itu dengan alasan keselamatan negara.
“Kami sentiasa berusaha menjadi tuan rumah yang baik. Tetapi keselamatan negara adalah keutamaan, dan warga asing tanpa status sah perlu pulang ke negara asal,” katanya dalam sidang media Selasa lalu.

Langkah Iran ini sekali lagi mencetuskan perdebatan antarabangsa mengenai hak pelarian, peranan negara jiran dalam krisis kemanusiaan, serta keseimbangan antara keselamatan nasional dan nilai perikemanusiaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








