Jururawat Wad SCN, NICU Hospital Melaka rai Hari Jururawat Sedunia
MELAKA – Sambutan Hari Jururawat Sedunia diraikan dengan meriah melalui pemberian sekuntum bunga mawar kepada jururawat di Wad Jagaan Khas Bayi (SCN) dan Wad Rawatan Rapi Neonatal (NICU), Hospital Melaka, di sini hari ini.
Pemberian bunga mawar oleh Ketua Jururawat, Zaini Yahya, 52, kepada semua jururawat yang bertugas di wad berkenaaan adalah sebagai simbol kasih sayang dan penghargaan terhadap peranan penting jururawat dalam sistem penjagaan kesihatan.

“Selain pemberian bunga mawar, kami juga bertukar-tukar hadiah sesama sendiri.
“Sambutan ini bukan sekadar satu acara simbolik, malah menjadi wadah untuk mengeratkan ukhuwah serta memupuk semangat kekitaan dalam kalangan warga kerja di wad ini,” kata Zaini kepada Malaysia Tribune.
Tambah beliau, inisiatif itu merupakan tanda sokongan, penghargaan dan semangat setiakawan.
“Ia membuatkan kami rasa dihargai dan disayangi, terutama dalam kerjaya yang menuntut komitmen tinggi seperti ini,” ujarnya.
Tegas Zaini lagi, sambutan seperti itu penting dalam mengangkat semula semangat para jururawat yang saban hari berdepan pelbagai cabaran dalam menjalankan tugas mereka.
“Sebagai jururawat yang telah berkhidmat hampir 30 tahun, saya amat bersyukur kerana diberi peluang untuk berbakti kepada masyarakat.
“Kerjaya ini bukan sekadar kerja, tetapi satu amanah dan ibadah,” tambahnya.

Beliau turut berkongsi bahawa pada hari yang sama, wad mereka menerima kes bayi pra-matang yang dilahirkan dengan berat hanya 900 gram.
Situasi itu sekali gus menjadi peringatan kepada semua tentang betapa pentingnya peranan jururawat dalam menyelamatkan nyawa, terutama bayi-bayi kecil yang memerlukan penjagaan rapi.
Seorang lagi jururawat, Nur Haslina Madun berkata, sambutan itu menyemarakkan lagi semangat pasukan dalam menjalani tugas harian.
“Kami ibarat satu keluarga di sini. Bila ada sambutan seperti ini, rasa penat terus hilang. Kita dapat rasa sokongan dan kasih sayang antara satu sama lain,” katanya.
Sambutan Hari Jururawat Sedunia yang diraikan pada 12 Mei setiap tahun bagi mengiktiraf jasa dan pengorbanan jururawat di seluruh dunia dalam memastikan kebajikan pesakit sentiasa terjaga.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








