Jururawat Jabatan Paediatrik Hospital Melaka komited laksana tugas di Aidilfitri
KETIKA kebanyakan masyarakat meraikan Aidilfitri bersama keluarga tersayang, jururawat di Jabatan Paediatrik, Hospital Melaka tetap komited melaksanakan tugas mereka demi memastikan pesakit mendapat penjagaan terbaik.
Staff Nurse Nur Haslina Madun, 40, berkata, pengorbanan masa bersama keluarga di pagi Syawal bukanlah sesuatu yang mudah, namun ia dilakukan dengan penuh keikhlasan demi tanggungjawab yang digalas.

“Walaupun sedih, tapi demi tugas kami laksanakan sepenuh jiwa,” katanya kepada Malaysia Tribune.
Menurutnya, suasana di hospital pada Aidilfitri sedikit berbeza apabila staf mengambil inisiatif membawa juadah raya secara ‘potluck’ untuk dinikmati bersama rakan setugas dan pesakit di wad.
“Terubat juga rasa sedih bila semua staf bawa potluck makanan raya dan kami nikmati bersama di wad.
“Suasana ini sedikit sebanyak mengubat kerinduan terhadap keluarga,” tambahnya.

Sementara itu, Nur Haslina turut berpesan kepada masyarakat agar sentiasa menjaga kesihatan dan berhati-hati dalam meraikan Aidilfitri agar terhindar daripada sebarang penyakit.
“Semoga masyarakat di luar sana jaga diri dan jaga kesihatan. Nikmati sajian raya namun berpada-pada agar tidak berlebihan hingga mampu memudaratkan kesihatan.
“Buat mereka yang teruji dengan penyakit pula, semoga terus kuat hendaknya,” ujarnya.
Menurut beliau, sepanjang lebih 11 tahun bertugas sebagai jururawat, banyak pengalaman yang menyentuh emosi dapat dilihat.
“Bertugas di wad kanak-kanak, saya kagum dengan ibu bapa yang sentiasa bertanggungjawab menjaga anak-anak yang sakit atau dilahirkan pramatang.
“Sebak melihat mereka sanggup datang di hari raya untuk meraikan bersama insan tersayang,” ujarnya.
Apa yang pasti, komitmen jururawat dan petugas kesihatan di Hospital Melaka ini wajar dihargai kerana mereka sanggup mengorbankan kegembiraan peribadi demi memastikan kesejahteraan pesakit terus terpelihara.
Semoga Allah ganjari para petugas kesihatan dan seluruh umat Islam yang bertugas di hari raya demi tanggungjawab pada agama, bangsa dan negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








