Jurufoto letak jawatan dakwa Reuters sokong propaganda Israel
KUALA LUMPUR – Seorang jurufoto bebas, Valerie Zink, mengambil keputusan meletak jawatan selepas lapan tahun bersama agensi berita antarabangsa, Reuters, kerana mendakwa organisasi itu menyokong propaganda Israel dan tidak mempertahankan wartawan yang terkorban di Gaza.
Menurut Zink, dia tidak lagi sanggup berkhidmat dengan Reuters selepas agensi berkenaan mengulangi dakwaan tidak berasas oleh Israel terhadap wartawan Palestin, Anas Al-Sharif, yang maut dalam serangan udara di Gaza City pada 10 Ogos lalu bersama kru Al Jazeera.
“Walaupun karya Anas memenangi Hadiah Pulitzer untuk Reuters, agensi itu tidak membela beliau walaupun sudah jelas beliau menjadi sasaran Israel.
“Malah, mereka gagal melaporkan kematiannya dengan jujur,” katanya dalam kenyataan dimuat naik di Facebook miliknya semalam.
Baca juga : Israel bom Hospital Nasser, wartawan, petugas perubatan dan puluhan orang awam maut
Zink turut mengecam serangan terbaru rejim Zionis terhadap Hospital Nasser yang mengorbankan 20 orang termasuk jurukamera Reuters, Hossam Al-Masri.
Dia mendakwa serangan berkenaan merupakan serangan “double tap” iaitu mengebom bangunan awam, menunggu kehadiran pasukan penyelamat dan wartawan, sebelum melancarkan bom kedua.
Tambahnya, media Barat seperti Reuters, The New York Times, Washington Post dan Associated Press turut terlibat dalam menyebarkan propaganda Israel sehingga mencetuskan suasana yang membawa kepada pembunuhan besar-besaran wartawan di Gaza.
“Dengan mengulangi pembohongan Israel tanpa usul periksa, media Barat telah memungkinkan lebih ramai wartawan terbunuh di Gaza dalam dua tahun berbanding gabungan Perang Dunia Pertama, Perang Dunia Kedua, Korea, Vietnam, Afghanistan, Yugoslavia dan Ukraine,” jelasnya.
Zink berkata, keputusan meninggalkan Reuters merupakan sebahagian daripada usahanya untuk menghormati keberanian wartawan Palestin yang disifatkannya sebagai antara yang paling berani dan terbaik pernah ada.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








