BERITA SEMASADALAM NEGERI

Jumlah mangsa banjir di Sabah menurun, Sarawak kekal

KUALA LUMPUR – Jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sabah mencatat penurunan pagi ini manakala angka di Sarawak kekal tidak berubah.

Di Sabah, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan jumlah mangsa berkurangan kepada 439 orang daripada 128 keluarga, berbanding 892 orang daripada 273 keluarga petang semalam.

Kesemua mangsa ditempatkan di empat PPS di daerah Penampang, Membakut dan Papar.

“Jumlah mangsa banjir di Papar (126 orang) dan Penampang (121 orang) menunjukkan trend penurunan, manakala jumlah mangsa di Membakut kekal 192 orang,” menurut kenyataan JPBN, memetik laporan Bernama.

Sejumlah 53 kampung masih terjejas, melibatkan 24 kampung di Penampang, 20 di Papar dan sembilan di Membakut.

Di Sarawak, jumlah mangsa yang berlindung di PPS Dewan Suarah Marudi, Miri kekal 17 orang daripada lima keluarga.

Data daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan paras Sungai di Stesen Long Teru masih berada pada tahap bahaya iaitu 8.77 meter (m) dengan trend menurun perlahan sejak dua hari lalu, manakala paras air di Stesen Marudi kekal pada bacaan bahaya 4.17m.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button