Jumlah mangsa banjir di Perak terus meningkat, 1,776 individu dipindahkan ke 23 PPS
IPOH – Situasi banjir di Perak semakin membimbangkan apabila jumlah mangsa terus meningkat susulan hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu yang menyebabkan beberapa kawasan rendah dinaiki air.
Sehingga pukul 4 pagi tadi, seramai 1,776 individu daripada 609 keluarga telah dipindahkan ke 23 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negeri.
Jurucakap Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Perak berkata, daerah Larut, Matang dan Selama merekodkan jumlah mangsa paling tinggi apabila 1,413 individu (502 keluarga) ditempatkan di 20 PPS yang dibuka sejak malam semalam.
“Sementara itu, di daerah Manjung, seramai 363 mangsa daripada 107 keluarga kini berlindung di tiga PPS yang beroperasi sejak semalam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menambah, beberapa PPS di kedua-dua daerah masih dalam proses pendaftaran mangsa dan angka tersebut dijangka terus meningkat berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu.
Difahamkan, hujan lebat sejak awal minggu ini telah menyebabkan paras air di beberapa sungai utama termasuk Sungai Larut dan Sungai Manjung meningkat dengan ketara, selain mengakibatkan limpahan air di kawasan kediaman berdekatan.
Pihak berkuasa kini giat memantau perkembangan semasa dan menasihatkan penduduk di kawasan berisiko agar segera berpindah jika diarahkan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






