BERITA SEMASABISNES & EKONOMI

Jualan automotif dijangka jatuh 7 peratus tahun ini

KUALA LUMPUR – CIMB Securities Sdn Bhd mengunjurkan jualan automotif Malaysia jatuh tujuh peratus kepada 760,000 unit berbanding 780,000 unit yang dianggarkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) pada 2025.

Dalam nota penyelidikan hari ini, firma broker saham itu berkata, kejatuhan dalam unjuran itu disebabkan beberapa faktor seperti penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan 2025, yang boleh memberi kesan kepada kuasa beli pengguna.

Walaupun begitu, ia menjangkakan permintaan kekal berdaya tahan untuk segmen kenderaan berharga di bawah RM100,000, yang didominasi oleh jenama nasional dan model peringkat permulaan terpilih daripada pembuat kereta Jepun.

MAA mengunjurkan penurunan 4.5 peratus dalam jumlah jualan keseluruhan automotif tahun ini, memetik ketidaktentuan ekonomi global, diburukkan lagi oleh perang perdagangan AS-China yang berterusan, sebagai faktor utama yang menyumbang kepada kemerosotan itu.

Persatuan berkenaan juga mengambil maklum penangguhan kaedah pengiraan nilai pasaran terbuka (OMV) yang dipinda oleh kerajaan dari Januari 2025 kepada Januari 2026.

“Kami melihat penangguhan ini sebagai sesuatu yang positif untuk sementara bagi sektor automotif, memandangkan MAA menganggarkan pengiraan OMV baharu boleh meningkatkan harga jualan purata kenderaan yang dipasang secara tempatan sebanyak 10-30 peratus,” kata CIMB Securities sambil menambah penangguhan itu mengurangkan tekanan harga.

Unjuran CIMB Securities juga mengambil kira kadar dasar semalaman (OPR) yang stabil untuk 2025 dan rancangan kerajaan untuk mengekalkan subsidi bahan api kepada 85 peratus pengguna RON95, seperti yang digariskan dalam Belanjawan 2025.

“Dasar ini dijangka memastikan harga untuk segmen pasaran massa mampu dimiliki, membolehkan jenama tempatan mengekalkan bahagian pasaran dominan, yang diunjurkan sebanyak 64.5 peratus pada 2025 berbanding 35.5 peratus bagi jenama bukan tempatan,” katanya.

Sehubungan itu, CIMB Securities mengekalkan saranan ‘Neutral’ terhadap sektor automotif, di tengah-tengah persaingan yang semakin sengit daripada syarikat-syarikat automotif China.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button