BERITA SEMASA

Jual akaun kepada sindiket penipuan pelaburan, 2 lelaki didenda RM15,000

MUAR – Dua lelaki masing-masing didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah terlibat menjual akaun bank milik mereka kepada sindiket penipuan pelaburan pada tahun lalu.

Menurut laporan Buletin TV3, tertuduh, Mohamad Syarif Anas Mohamad Noor, 28, seorang operator kilang dan Mohd Rezuan Hafeez Kassim, 45, bekerja sebagai pemotong ayam di sebuah pasar raya membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor.

Menurut pertuduhan, kedua-duanya secara bersama dengan niat telah terlibat secara tidak langsung dalam urusan transaksi kemasukan wang berjumlah RM36,200 ke dalam akaun yang didaftarkan atas nama sebuah syarikat.

Perbuatan tersebut dilakukan di sebuah rumah di Tangkak pada 2 Disember tahun lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 424C Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda maksimum RM150,000.

Hasil siasatan mendapati kedua-dua tertuduh telah membuka akaun bank di ibu negara selepas tertarik dengan iklan sewaan akaun yang dilihat di laman sosial Facebook.

Mereka turut menyerahkan maklumat peribadi kepada sindiket berkenaan untuk tujuan pendaftaran syarikat melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Sindiket tersebut dikatakan menjanjikan bayaran sebanyak RM2,000 seorang sebagai ganjaran untuk membenarkan akaun mereka digunakan.

Namun begitu, kedua-dua tertuduh mendakwa tidak pernah menerima bayaran yang dijanjikan.

Sebaliknya, akaun milik mereka digunakan sindiket untuk menipu mangsa membabitkan pelaburan saham yang tidak wujud.

Siasatan polis turut mendedahkan bahawa kedua-dua lelaki itu terlibat dalam beberapa kes lain yang berlaku di Johor Bahru dan Kulai dan mereka dijangka akan didakwa dalam masa terdekat.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Othman Affan Ismail, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button