JS-SEZ tarik pelabur, kerajaan komited sokong pembangunan Johor – PM
ISKANDAR PUTERI – Kerajaan memberi jaminan akan terus menyokong penuh pembangunan infrastruktur dan kemudahan di Johor, khususnya bagi memastikan kejayaan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) sebagai pemangkin pertumbuhan baharu negeri itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif kerjasama dua hala itu berjaya menarik keyakinan tinggi dalam kalangan pelabur asing untuk melabur di Johor, sekali gus membuktikan potensi besar negeri tersebut dalam sektor pelaburan dan ekonomi.
“Alhamdulillah, kita lihat minat pelabur terhadap JS-SEZ semakin meningkat. Kerajaan Pusat komited memastikan kemudahan serta infrastruktur berada pada tahap terbaik demi memperkukuh keyakinan pelabur,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook milik beliau hari ini.
Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan mempengerusikan Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Johor di Kota Iskandar, pagi tadi.
Mesyuarat turut dihadiri Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi serta pimpinan tertinggi negeri dan Persekutuan.
Baca juga : Kerajaan minta Kementerian Ekonomi susuli perkembangan JS-SEZ
Dalam mesyuarat itu, Anwar menegaskan komitmennya terhadap tadbir urus berintegriti, termasuk dalam pengurusan kewangan, pentadbiran, keselamatan serta kesihatan rakyat khususnya dalam pelaksanaan projek yang melibatkan perolehan awam.
Selain itu, Kerajaan Negeri turut membentangkan beberapa projek pembangunan utama termasuk isu bekalan air mentah, penambahbaikan sistem akses CIQ di Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar, pengoperasian Hospital Pasir Gudang serta isu tanah dan projek pra-pelaksanaan.
Perdana Menteri turut menggesa agar pendekatan lebih berhikmah serta pemikiran di luar kotak diamalkan supaya penjimatan hasil pengurusan cekap dapat dimanfaatkan untuk bidang yang lebih mendesak seperti kesihatan dan pendidikan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






