BERITA SEMASABISNES & EKONOMI

JS-SEZ lonjak pelaburan, kukuh kerjasama Johor-Singapura

JOHOR BAHRU – Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dijangka melonjakkan Johor sebagai hab pelaburan utama serantau apabila hampir 1,000 pemimpin industri dan penggubal dasar dari kedua-dua negara hadir ke Forum Perniagaan dan Pelaburan JS-SEZ di Pusat Konvensyen Persada Johor, di sini hari ini.

Forum itu dianjurkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bersama Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI) Singapura dan Kerajaan Negeri Johor, dengan kerjasama agensi pelaburan seperti MIDA, IRDA, Invest Johor dan Enterprise Singapore.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerjasama menerusi JS-SEZ akan membuka lebih banyak peluang kepada Johor, khususnya dalam sektor ekonomi digital, penyelidikan, pembuatan pintar, agroteknologi dan pelancongan.

“Kita bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan untuk terus menarik pelaburan bernilai tinggi yang mampu wujudkan peluang pekerjaan lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz

Sementara itu, Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, JS-SEZ memperkukuh kerjasama dua hala, sekali gus memacu kedudukan Malaysia dalam ekonomi ASEAN.

“JS-SEZ bukan hanya menyatukan dasar dan infrastruktur, tetapi juga memperkuat industri penting dan rantaian bekalan serantau,” katanya lagi.

Forum turut menyaksikan pemeteraian dua Memorandum Persefahaman (MoU), antaranya antara Pertamina Energy Terminal dan Pelabuhan Tanjung Langsat bagi kerjasama bunkering hijau, serta antara Maybank dan Perbadanan Usahawan Johor (PUJB) bagi pembiayaan PKS dalam zon itu.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim berkata, JS-SEZ merupakan peluang besar untuk menarik pelaburan global dan mempercepat pembangunan teknologi.

“Zon ini gabungkan inovasi, kelestarian dan transformasi digital. Ia akan jadi contoh kerjasama serantau di ASEAN,” katanya lagi.

Pandangan itu turut dikongsi Ketua Pegawai Eksekutif IRDA, Datuk Mohd Noorazam Osman yang berkata, JS-SEZ memudahkan pergerakan barangan, perkhidmatan dan tenaga kerja antara dua negara.

“Forum itu dilihat sebagai permulaan kepada kerjasama ekonomi lebih mendalam antara Johor dan Singapura serta membuka lembaran baharu dalam pembangunan ekonomi ASEAN yang lebih mampan dan inovatif,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button