
JPJ keluarkan 61,317 notis sepanjang Operasi Khas HRA 2025
SHAH ALAM – Sebanyak 61,317 notis pelbagai kesalahan dikeluarkan sepanjang Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2025 di seluruh negara yang berakhir tengah malam tadi.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, kesemua notis terbabit dikeluarkan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).
“Daripada jumlah itu, sebanyak 511 kenderaan disita. Ia hasil pemeriksaan ke atas 287,802 kenderaan di 353 kawasan ‘hotspot’ seluruh negara.
“Sepanjang tempoh sejak 24 Mac operasi itu juga, JPJ menerima 6,687 aduan melalui Aplikasi MyJPJ berkaitan kesalahan lalu lintas pada musim perayaan ini, yang mana orang awam mengambil gambar atau merakam video kesalahan di jalan raya sebelum menghantarnya menerusi aplikasi berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar selepas meninjau sekatan jalan raya terakhir Operasi Khas HRA 2025 oleh JPJ Selangor di Plaza Tol Kota Kemuning, Seksyen 31, di sini malam tadi.
Beliau kemudiannya berkata, berpandukan data yang dikumpul, tiga kesalahan tertinggi sepanjang ops ini diadakan adalah memotong barisan (1,766), memandu di lorong kecemasan (1,625) dan gagal mematuhi lampu isyarat merah (843).
“Kita sudah mengambil tindakan berikutan semua aduan itu, termasuk mengeluarkan Notis 114 terhadap pemilik kenderaan yang melakukan kesalahan,” katanya.
Beliau turut enambah, JPJ turut memfokus kepada pemeriksaan kenderaan perkhidmatan awam membabitkan sejumlah 12,732 bas di 54 depoh serta 28 terminal utama seluruh negara.
“Pihak JPJ telah mengeluarkan 1,294 notis di mana 366 daripadanya melalui penguatkuasaan secara penyamaran dalam bas yang bergerak sepanjang musim perayaan ini.
“Kebanyakan kesalahan dilakukan pemandu bas adalah berkait tayar, dan tindakan segera sudah diambil termasuk mengenakan kompaun.
“Melalui penyamaran anggota JPJ dalam bas, dikesan banyak kesalahan pemandu menggunakan telefon bimbit ketika memandu. Itu adalah kesalahan utama yang tiada kompromi, dan juga terus dikompaun.
“Sepanjang perjalanan, anggota JPJ yang menyamar mengetahui apa yang pemandu bas lakukan, termasuk memandu di lorong kanan secara berterusan dan memasuki lorong kecemasan. Pemandu terbabit terus mengaku bersalah kerana ada bukti,” katanya lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |