BERITA SEMASA

Jovian Mandagie diisytihar muflis gagal bayar pinjaman RM5.28 juta

KUALA LUMPUR – Pereka fesyen terkenal, Datuk Jovian Mandagie, hari ini diisytihar muflis oleh Mahkamah Tinggi (Bahagian Insolvensi) selepas gagal melunaskan pinjaman berjumlah RM5.28 juta kepada sebuah syarikat pembinaan kejuruteraan.

Perintah kebankrapan itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar, Muhammad Faisal Zulkifli, selepas membenarkan petisyen pemiutang yang difailkan oleh syarikat Cekap Air Sdn Bhd pada 20 November tahun lalu.

Menurut petisyen tersebut, Jovian yang juga bekas menantu kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah melakukan perbuatan kebankrapan apabila gagal mematuhi Notis Kebankrapan bertarikh 21 Mei 2023.

Jumlah tunggakan termasuk faedah mencecah RM5,284,340.66 seperti yang dinyatakan dalam penghakiman terus yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi pada 2 April 2023.

Peguam syarikat terbabit, Siti Nur Athirazatti Rohizad memaklumkan, notis kebankrapan difailkan selepas Jovian gagal mematuhi perintah penghakiman terus yang dimohon melalui saman utama.

“Jovian turut memfailkan permohonan untuk menggantung dan membatalkan notis serta petisyen itu, namun semuanya telah ditolak oleh mahkamah,” katanya.

Mahkamah pada 2 April 2023 memerintahkan Jovian membayar RM5 juta kepada Cekap Air selepas membenarkan permohonan penghakiman terus oleh syarikat berkenaan.

Saman sivil itu difailkan pada 16 Mei 2023, mendakwa Jovian gagal membayar balik pinjaman RM5 juta yang dibuat secara persahabatan.

Menurut pernyataan tuntutan, Jovian merupakan kenalan kepada Pengarah Cekap Air, Yong Zhen Wei, dan pinjaman dibuat secara lisan pada 25 Februari 2022.

Wang berkenaan kemudiannya dipindahkan ke akaun pelanggan firma guaman yang mewakili Jovian dan penerimaan dana turut disahkan oleh firma terbabit atas arahan defendan.

Rayuan Jovian terhadap keputusan penghakiman terus dijadualkan untuk didengar pada 15 September ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button