
Jojoe One Nation Emcees meninggal dunia ketika hadiri perhimpunan tabligh
KUALA LUMPUR – Bekas anggota kumpulan hip hop terkenal, One Nation Emcees, Nur Hasan Balas atau lebih dikenali sebagai Jojoe meninggal dunia hari ini ketika menghadiri Ijtimak Qudamak di Markas Dakwah Sri Petaling.
Berita pemergian Jojoe disahkan oleh rakan-rakannya menerusi hantaran di media sosial.
Menurut Ali Russia, Jojoe menghembuskan nafas terakhir dalam suasana yang dicemburui iaitu di medan dakwah dengan kehadiran para pendakwah.
“Innalillahi wainna ilaihi raji’un. Ya Rabb, terima segala ibadah dan amal kebaikan yang beliau lakukan semasa hidupnya,” tulisnya dalam hantaran tersebut.
Maulana Helmi pula memaklumkan, Jojoe meninggal dunia sewaktu doa penutup dibacakan dalam perhimpunan tersebut.
“Semoga Allah SWT mengurniakan husnul khatimah kepada beliau,” katanya.
Nur Hasan atau Jojoe dikenali sebagai seorang pendakwah aktif selepas meninggalkan dunia seni.
Ali Russia turut berkongsi kenangan membawa Jojoe menyertai aktiviti tabligh buat kali pertama dan menghadiri Ijtimak Tonggi di Bangladesh enam tahun lalu.
Pemergian Jojoe meninggalkan kesan mendalam kepada rakan-rakan seperjuangannya yang menggambarkan beliau sebagai seorang individu yang istiqamah dalam dakwah.
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham Nur Hasan bin Balas dan menempatkannya di kalangan orang beriman.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |