
JIM sambut baik pelaksanaan pelanjutan kemudahan pengecualian visa kepada warga India
PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyambut baik keputusan kerajaan untuk menyelaraskan pelanjutan kemudahan pengecualian visa kepada warganegara India sehingga 31 Disember 2026.
Menurut Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, kemudahan pengecualian visa ini yang dilaksanakan di bawah Program Liberalisasi Visa bermula 1 Disember 2023 mempunyai tujuan untuk meningkatkan sektor ekonomi dan pelancongan di Malaysia tanpa berkompromi terhadap aspek keselamatan negara.
“Untuk rekod, sepanjang tempoh pengecualian ini, bermula 1 Disember 2023 hingga 1 Disember 2024, JIM telah merekodkan kemasukan pelawat India seramai 916,821 orang.
“Inisiatif kemudahan pengecualian visa ini telah meningkatkan jumlah kemasukan pelawat India sebanyak 223 peratus berbanding 283,885 pelawat pada tahun 2023.
“Peningkatan ini telah memberi ransangan kepada industri perniagaan di Malaysia yang mana kemasukan pelancong bukan sahaja menjana pendapatan tetapi juga mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat tempatan,” kata Zakaria dalam satu kenyataan, hari ini.
Bagi menyokong pelaksanaan pelanjutan ini, Zakaria berkata, pihaknya akan mempertingkatkan aspek kawalan dan penguatkuasaan yang telah dilaksanakan sepertimana ketika awal pelaksanaannya pada tahun 2023.
“Antara bentuk kawalan dan penguatkuasaan yang dilaksanakan adalah pasukan khas pemantau pergerakan keluar pelawat China dan India, aktiviti naziran di kawasan tumpuan warga asing, prosedur ketat Notis Penolakan Masuk dan pematuhan pengisian Malaysia Digital Arrival Card (MDAC).
“Di samping itu, proses kemasukan masih mengekalkan semakan keselamatan di mana pelawat perlu mengemukakan tiket pulang dan bukti penginapan seperti butiran tempahan hotel yang sah,” katanya lagi.
Beliau kemudiannya menambah, JIM tidak berkompromi dengan aspek keselamatan sedia ada dan terus komited dalam melaksanakan usaha berterusan bagi menambahbaik kelancaran pergerakan keluar masuk negara yang secara tidak langsung dapat menyokong industri pelancongan negara.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |