
JIM permudah pas lawatan jangka panjang untuk pelabur asing
PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyambut baik pewujudan Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang Untuk Pelawat Perniagaan atau Pelabur Asing (Pas Pelabur) yang berkuat kuasa pada 1 April 2025 seperti diumumkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban dalam satu kenyataan berkata, inisiatif itu bertujuan memudahkan pelabur asing yang telah memberi komitmen untuk melabur di Malaysia khususnya melalui agensi-agensi pelaburan berkaitan.
“Kemudahan ini membolehkan pelawat perniagaan dan pelabur asing berada di Malaysia selama enam bulan.
“Malah, ia juga boleh dilanjutkan hingga enam bulan lagi, bergantung kepada justifikasi serta keperluan pemohon,” katanya.
Sebagai tambahan, pemegang pas itu juga akan diberikan Multiple Entry Visa (MEV) bagi memudahkan urusan keluar masuk ke negara ini.
JIM turut menekankan bahawa proses permohonan akan dipermudahkan dengan sistem end-to-end secara dalam talian, termasuk sokongan daripada agensi pelaburan, semakan, kelulusan dan cetakan pas.
“Kami yakin kemudahan ini akan merangsang ekosistem pelaburan negara sambil memastikan aspek keselamatan tetap menjadi keutamaan,” tambah beliau.
Maklumat lanjut mengenai permohonan Pas Pelabur boleh diperoleh melalui laman sesawang Bahagian Khidmat Ekspatriat, Jabatan Imigresen Malaysia di https://esd.imi.gov.my/.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |