BERITA SEMASA

Jika tidak berpuas hati, dipersilakan pindah ke negeri yang masih bercuti Jumaat dan Sabtu

KUALA LUMPUR – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menegaskan pertimbangan yang mendalam telah dilakukan untuk menukar semula cuti hujung minggu di Johor kepada Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari 2025.

“Ada beberapa negeri masih kekal bercuti hari Jumaat dan Sabtu. Dalam mempertimbangkan isu berkaitan kehendak rakyat Johor untuk meluangkan lebih masa bersama keluarga dan anak-anak, kesan ekonomi yang positif adalah seiring dengan pelaksanaan projek pembangunan yang memberi manfaat di negeri Johor.

“Ini seterusnya akan membawa keuntungan kepada negeri dan rakyatnya,” titah baginda dalam satu kenyataan hari ini.

Baginda bertitah, pertukaran itu juga telah mendapat izin dan restu Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan mendapat pandangan daripada Majlis Agama Islam negeri Johor, kerajaan negeri, agensi-agensi kerajaan dan rakyat.

“Maka saya telah membuat keputusan untuk Johor bercuti semula pada Sabtu dan Ahad.

“Jika ada pihak yang kurang senang atau tidak berpuas hati demi agenda peribadi, nak melaga-lagakan rakyat atau kepentingan politik, anda dipersilakan pindah ke negeri-negeri yang masih bercuti Jumaat dan Sabtu,” titah baginda.

Pada 1 Januari 2014, Sultan Ibrahim menukar cuti mingguan negeri Johor kepada Jumaat dan Sabtu, sebagai penghormatan kepada hari Jumaat selaku penghulu segala hari dan pengiktirafan Agama Islam sebagai agama rasmi Johor.

Perubahan itu sebelum ini sebenarnya mengembalikan semula cuti hujung minggu asal (Jumaat-Sabtu) yang telah dilaksanakan Johor sejak sekian lama sebagai sebuah Negeri Melayu Tidak Bersekutu.

Johor hanya melaksanakan hujung minggu Sabtu dan Ahad bermula tahun 1994 apabila ia ditukar semasa pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Besar.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button